TVS siar dokumentari bersiri Bujang Berani

0
3
bendera sarawak. kredit: the rakyat post

SEMPENA meraikan Hari Sarawak pada 22 Julai ini, Tv Sarawak (TVS) akan menayangkan dokumentari bersiri bertajuk Bujang Berani.

Dokumentari bersiri enam episod itu yang disiarkan bermula jam 1.14 tengah hari, akan memaparkan keunikan pasukan keselamatan penting dalam sejarah pertahanan Sarawak.

Ia seperti Penjejak Iban, Sarawak Rangers, Pengakap Sempadan, Komando, Pasukan Polis Hutan dan Rejimen Renjer Diraja.

TVS menerusi kenyataan berkata setiap episod juga akan memaparkan kisah patriot kelahiran Sarawak yang berkhidmat dengan pasukan keselamatan dan telah mempamerkan keberanian luar biasa dalam pertempuran.

Berikut ialah sinopsis ringkas tentang pengisian setiap episod:

EPISOD 1 – PENJEJAK IBAN / TARIKH TAYANGAN – 22.07.2010
Dalam episod pengenalan, kita akan mengetahui tentang maksud Bujang Berani mengikut tradisi orang Iban dan maksudnya pada zaman sekarang ini. Kita akan mengenali kisah 2 orang Penjejak Iban yang tersohor iaitu Datuk Awang anak Rawing (penerima pingat George Cross) dan ASP Menggong anak Panggit (penerima pingat George Medal).

EPISOD 2 – PENGAKAP SEMPADAN / TARIKH TAYANGAN – 29.07.2010
Dalam episod ini, kita akan mengenali sumbangan anggota Pengakap Sempadan, sebuah pasukan keselamatan yang banyak berjasa semasa zaman konfrontasi Malaysia-Indonesia. Kita juga akan menyelami kisah ASP Wilfred Gomez Malong, penerima pingat Panglima Gagah Berani (PGB) yang termuda dalam sejarah pertahanan negara.

EPISOD 3 : KOMANDO KAMPUNG BUNTAL / TARIKH TAYANGAN – 05.08.2010
Dalam episod ini, kita akan mengenali satu-satunya anak Sarawak dari Grup Gerak Khas yang menerima pingat keberanian tertinggi negara, Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP), iaitu Truper Rasli bin Buang. Untuk mengetahui kisahnya, kita akan menemubual ahli keluarga, kawan rapat dan juga bekas tunangnya yang tinggal di Kampung Buntal, Kuching.

EPISOD 4 : PASUKAN POLIS HUTAN / TARIKH TAYANGAN – 12.08.2010
Dalam episod ini kita akan mengetahui tentang Pasukan Polis Hutan Sarawak. Kita akan mengenali 2 patriot Sarawak yang menerima pingat keberanian tertinggi negara, Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) iaitu Sub-Inspektor Ngalinuh Bala dan Koperal Etin Bijan. Pasukan mereka telah diserang hendap oleh komunis semasa
mengiringi bahan letupan pihak JKR di Jalan Ulu Oya, Sibu, pada tahun 1972.

EPISOD 5 : WIRA 1 RENJER / TARIKH TAYANGAN – 19.08.2010
Dalam episod ini, kita akan mengenali Rejimen Renjer Diraja, khususnya Batalion Pertama, satu batalion yang telah banyak berjasa menentang pengganas komunis semasa Zaman Darurat. Kita juga akan memaparkan 2 patriot Sarawak dari 1 Renjer iaitu PW II Lenggu anak Cina, penerima pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) dan Sarjan (B) Dajai anak Angie, penerima pingat Panglima Gagah Berani (PGB).

EPISOD 6 : OPS JELAKU VI / TARIKH TAYANGAN – 26.08.2010
Dalam episod ini, kita akan mengenali satu misi yang di kenali sebagai ‘Ops Jelaku VI’. Kita akan mengenali patriot Sarawak yang terlibat dalam misi ini iaitu Lt Kol (B) Robert Rizal Abdullah dan Sarjan Peter Bat Wan dari 3 Renjer. Mereka telah menjejaki dan mengejar komunis tanpa henti dan akhirnya terlibat dalam satu pertempuran dengan mereka di sebuah kawasan berpaya di Nonok, sekarang dikenali sebagai Asajaya.

Foto Kredit: The Rakyat Post

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here