TAN Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan moratorium enam bulan kepada semua peminjam individu, sama ada golongan B40, M40 atau T20 dan usahawan mikro dengan kerjasama pihak bank.
Perdana Menteri berkata tiada lagi syarat seperti pengurangan pendapatan, tiada semakan sama ada telah hilang pekerjaan dan tiada lagi dokumentasi yang perlu dikemukakan untuk permohonan.
“Anda Cuma perlu memohon dan kelulusan akan diberikan secara automatik.
“Kemudahan ini juga ditawarkan kepada pengusaha PKS yang terjejas tertakluk kepada semakan dan kelulusan pihak bank.
“Permohonan akan dibuka pada 7 Julai 2021. Peminjam hanya perlu memohon dan menandatangani perjanjian pindaan syarat-syarat pinjaman yang berkaitan,” katanya dalam perutusan khas Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) hari ini.
Beliau berharap berharap inisiatif moratorium ini dapat sedikit sebanyak membantu peminjam individu dan PKS dalam menguruskan aliran tunai mereka semasa tempoh mencabar ini.
“Bagaimanapun, saya juga ingin berpesan gunalah tawaran ini dengan sebaiknya dan jika tidak mendesak, janganlah membuat tambahan komitmen kewangan lain,” katanya. – Malaysiapost

