POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menganjur atau menyertai sebarang perhimpunan dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Zainal Abidin Kasim berkata pihaknya mengesan satu video berdurasi dua minit 40 saat yang disebarkan di media sosial mengajak orang ramai berkumpul di beberapa lokasi pada jam 12 tengah hari Rabu ini.
Menurutnya, orang ramai dinasihatkan untuk tidak menyebarkan apa jua bahan yang boleh mengajak orang ramai melanggar prosedur operasi standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN).
“PDRM ingin mengingatkan masyarakat bahawa SOP MKN mengenai pergerakan dan penganjuran aktiviti sosial masih berkuatkuasa.
“Antaranya tiada rentas sempadan negeri dan daerah; dua orang wakil isi rumah sahaja dibenarkan keluar beli barang keperluan dalam radius 10 kilometer; dan maksimum tiga orang termasuk pesakit dibenar keluar untuk perkhidmatan kesihatan.
“Pergerakan rentas daerah dan negeri untuk tujuan vaksin sahaja dibenarkan, manakala aktiviti sosial membabitkan kehadiran ramai orang hingga boleh menyukarkan penjarakan fizikal dan pematuhan SOP tidak dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mana-mana pihak yang dikesan melanggar SOP berkenaan akan dikenakan tindakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342).
“Orang ramai diseru supaya terus mematuhi SOP dan bersama-sama memainkan peranan dalam usaha kerajaan untuk melandaikan keluk penularan wabak Covid-19,” katanya. – Malaysiapost
Foto Kredit: M-Update

