Solat Jumaat: Pengurusan masjid, 13 jemaah diberi diskaun

0
2

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) telah memberi diskaun terhadap kompaun yang dikenakan kepada Pengurusan Masjid Seberang Kota, Kuala Kedah serta 13 jemaah kerana menunaikan solat Jumaat tanpa kebenaran, Jumaat lalu.

Perkara itu dimaklumkan Yang Dipertua Yayasan Ar-Riyaadah, Ahmad Husam Baderudin yang menziarah serta menyampaikan sumbangan kepada pihak pengurusan masjid berkenaan hari ini.

Jumaat lalu, pihak masjid dikenakan kompaun RM10,000 manakala setiap jemaah disaman RM1,500.

“Alhamdulillah pihak KKM telah memberi diskaun Kepada masjid dan jemaah tersebut. Pihak Yayasan Ar-Riyaadah telah menyampaikan sumbangan sebanyak RM2,000,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Sebelum ini Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata jemaah yang dikenakan kompaun itu adalah penduduk tempatan yang berusia 18 hingga 82 tahun.

Menurutnya, mereka adalah sebahagian daripada 34 jemaah yang menunaikan solat Jumaat di masjid tersebut susulan pemeriksaan sepasukan polis dan kakitangan Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Jemaah lain tidak diambil tindakan atas alasan munasabah terdiri daripada pelajar sekolah, orang kurang upaya (OKU) termasuk seorang yang menghidap penyakit nyanyuk.

Mengulas lanjut, Ahmad Husam berkata pihaknya terpanggil untuk menghulurkan sumbangan setelah menerima panggilan daripada penduduk setempat yang mengadu mengenai perkara tersebut.

“Ada dalam kalangan mereka yang tidak ada apa-apa pekerjaan dan pendapatan untuk membayar saman tersebut.

“Saya rasa tiada siapa perlu dipersalahkan dalam isu ini, pihak berkuasa menjalankan tugas mereka, ahli jemaah pula tersangat rindu untuk menunaikan Solat Jumaat.

“Jadi kita tidak perlu menyalahkan sesiapa. Saya juga ingin mengajak anda yang ada sedikit lebihan rezeki untuk sama-sama membantu mereka. Anda boleh berhubung dengan pengurusan masjid untuk pertanyaan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here