GUNA satelit pembunuh atau Ultraman pun tak membantu sekiranya pergerakan manusia tidak dikurangkan ke tahap paling minumum,” kata mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Ahli Parlimen Pekan itu berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkesan bukan bergantung kepada SOP, tetapi perlu melihat secara menyeluruh khususnya kebenaran perkhidmatan perlu setakat ini dan ianya menyebabkan orang ramai terpaksa keluar bekerja.
Jelasnya, disebabkan itu pergerakan luar masih berlaku dan risiko jangkitan makin tinggi.
“Katakanlah dua juta orang terpaksa keluar bekerja setiap hari dan jika kadar SOP adalah 99.9 peratus, maka baki 0.1 peratus itu dijangkiti pula sudah 2,000 individu.
“Jika setiap 2,000 orang ini jangkit seorang pasangan dan satu anak di rumah, sudah 6,000 orang positif.
“Ya, tidak dinafikan mematuhi SOP ini mustahak, tapi patuh SOP sahaja bukan penyelesaian tunggal atau alasan untuk terus salahkan rakyat,” katanya menerusi Facebook.
Beliau berkata, kerajaan Perikatan Nasional (PN) perlu tahu tujuh daripada 32 orang menteri pernah dijangkiti Covid-19.
“Jadi, adakah kita perlu buat kesimpulan bahawa menteri-menteri PN sendiri pun suka langgar SOP?
“KKM kata, kebanyakan kes hari ini adalah sporadik iaitu bermakna Covid sudah ada di merata tempat dalam komuniti dan sukar untuk dikesan.
“Kalau tak tahu dari mana datangnya Covid dan sukar untuk dikesan, apakah cara terbaik untuk putuskan rantaian Covid?,” soalnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, langkah untuk memutuskan rantaian Covid-19 adalah dengan mengurangkan pergerakan manusia setiap hari kepada kadar paling minima untuk tempoh singkat yang melebihi tempoh inkubasi Covid-19 supaya virus itu pupus dan rantaian jangkitan terputus.
“Lockdown paling ketat dengan bantuan penuh supaya rakyat tak terpaksa keluar sepatutnya dibuat awal-awal lagi semasa PKP 2.0 Januari ataupun pada Ramadan sebelum PKP 3.0 bermula seperti saya sarankan berulang kali.
“Ini dah hari ke-46 PKP 3.0 dan hari ke-25 total lockdown selepas menghadapi 52 hari PKP 2.0, tetapi kes baharu masih cecah 5,800 iaitu melebihi 3,807 kes baharu bila PKP 3.0 seluruh negara diumum pada 10 Mei.
“Makin hari makin kecewa rakyat sebab pengorbanan mereka seolah disia-siakan apabila puluhan kluster baharu melibatkan tempat kerja tercetus setiap hari.
Najib berkata, ramai tidak mampu untuk bertahan lagi jika PKP dilanjutkan, namun tidak menunjukkan keberkesanan.
“Semakin hari semakin susah nak buat total lockdown yang betul-betul “total” sebab ramai sudah tak mampu bertahan lagi untuk berkurung tanpa pendapatan setelah berbulan-bulan PKP separuh masak tanpa hasil, baru korang nak lancarkan operasi besar-besaran untuk tangkap dan kompaun orang tak patuh SOP?
“Jadi, kenapa pula hari itu kamu dengan tegasnya umum “total” lockdown dan penutupan penuh, tapi selepas itu kamu luluskan lebih 120,000 syarikat untuk beroperasi?,” soalnya. – Malaysiapost

