Jangan malu minta bantuan zakat – Zahid Hamidi

0
2

GOLONGAN yang terkesan akibat pandemik Covid-19 diingatkan supaya tidak malu untuk memohon bantuan daripada pihak berkaitan termasuk pusat zakat di seluruh negara.

Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menyarankan mereka yang dalam kesulitan dan berasa layak agar mendapatkan bantuan zakat kerana ia adalah hak mereka.

Menurutnya, mereka tidak perlu sesekali rasa bersalah atau rendah diri meminta bantuan kerana ramai yang kini menghadapi kesempitan hidup.

“Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengesan 5,000 orang fakir miskin sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

“Jika masih berdepan kemiskinan selepas enam bulan dibantu, mereka ini akan didaftarkan sebagai golongan fakir miskin, atau dalam erti kata lain jadi ‘fakir miskin tetap’.

“Seramai 5,000 fakir miskin sementara ini dikesan kerana memohon bantuan kepada LZS,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Ahmad Zahid berkata, pihaknya percaya jumlah sebenar fakir miskin baharu di Selangor lebih ramai daripada itu, malah jauh lebih ramai jika diambil kira di negeri lain.

“Ada yang dalam kemiskinan, tetapi kurang cakna tentang bantuan zakat atau mungkin segan untuk memohon bantuan zakat, atau mereka yang masih belum dapat menerima hakikat mereka kini fakir miskin disebabkan ‘total lockdown’ suam-suam kuku?

“Rujuklah kepada pusat zakat di negeri anda. Apa yang anda lalui sekarang ini bukan salah anda. Bukan anda sahaja mengalaminya,” katanya.

Beliau berkata, isu kesempitan hidup ketika ini adalah sebuah permasalahan di seluruh negara dan mereka yang menghadapinya jangan anggap telah tewas kerana terpaksa memohon bantuan zakat, sebaliknya menganggap ia satu bentuk sokongan untuk bertahan sementara berusaha bangkit kembali.

“Kepada seluruh warga kerja LZS dan kakitangan pengurusan zakat negeri lain kita ucapkan penghargaan yang tidak terhingga. Permudahkanlah segala urusan permohonan bantuan mereka yang memerlukan pada waktu-waktu sukar begini,” katanya.

“Teruslah berusaha mengesan dan membantu fakir miskin baharu pada waktu PKP 3.0 ini kerana itu juga merupakan amal jariah,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here