Benar syarikat pinjaman wang operasi, tidak masuk akal – Tok Mat

0
2

KEPUTUSAN Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) membenarkan sektor kredit komuniti atau pemberi pinjam wang (PPW) yang berdaftar beroperasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP), tidak masuk akal.

Timbalan Presiden Umno, Datuk Mohamad Hasan berkata, tindakan KPKT itu disifatkan tidak membantu rakyat, malah menambah beban mereka.

Katanya, ini secara tak langsung menggalakkan individu yang sedang terhimpit untuk berhutang demi meneruskan hidup dan ia tindakan tidak bertanggungjawab dan bermoral.

“Adakah ini caranya KPKT meringankan beban rakyat yang berada dalam kesempitan. Di mana munasabahnya mengalakkan rakyat untuk berhutang? Inikah namanya strategi pemulihan yang bertangggungjawab?

“Rakyat sangat memerlukan bantuan ekonomi yang sewajarnya dalam tempoh PKP 3.0 yang dilanjutkan. Menambah beban hutang bukan penyelesaian untuk keluar daripada desakan kewangan yang menghimpit.

“Menghumban rakyat yang terdesak ke lembah hutang bukan sahaja tidak bertanggungjawab tetapi sangat tidak bermoral,” katanya menerusi Facebook.

Beliau berkata, KPKT seharusnya menggunakan “reserve” Kerajaan Tempatan untuk melakukan lebih banyak intervensi kebajikan kepada rakyat.

“Banyak Kerajaan Tempatan mempunyai ‘reserve’ yang besar,” katanya.

Beliau berkata, tugas kerajaan tempatan mesti mengutamakan keperluan manusia, pembayar cukai dan bukan sekadar melakukan kerja-kerja perbandaran.

“Begitu ramai rakyat kita yang terpaksa membuat pinjaman dengan ceti-ceti berlesen demi kelangsungan hidup serta perniagaan kecil mereka yang semakin malap. Mereka terhimpit dengan kadar faedah yang sangat tinggi.

“Jadi, tugas kerajaan adalah untuk mencari jalan keluar dari semua ini demi pemulihan semula ekonomi negara,” katanya.

Oleh itu, beliau berkata, menggalakkan rakyat berhutang dengan ceti, bukan jalannya.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here