DUN Kedah mungkin tak bubar

0
3

DEWAN Undangan Negeri (DUN) Kedah berkemungkinan tidak dibubarkan sekiranya berlaku Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) dalam tempoh terdekat, kata Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau berkata, ini kerana kerajaan negeri berada dalam keadaan kukuh dan pentadbirannya berjalan lancar di semua peringkat.

Selain Kedah, beliau berkata, kerajaan di beberapa negeri lain seperti Terengganu, Kelantan, Perlis, Pahang dan Perak juga dilihat kukuh dan tidak perlu mengadakan Pilihan Raya Negeri.

“Di peringkat Parlimen jika dibubarkan, kita sedia hadapi pilihan raya pada bila-bila masa. Di Kedah kita jalan seperti biasa, saya rasa negeri tak perlu ikut (bubar).

“Ini pandangan peribadi saya, jika parti di peringkat pusat dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) dapati ada keperluan (untuk bubar) dan adakan PRN, kita akan patuh,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Ditanya adakah beliau bimbang jika PRN-15 diadakan dalam tempoh terdekat, Muhammad Sanusi berkata, sebagai orang politik, mereka tidak takut berhadapan pilihan raya.

“Saya tidak takut, orang politik tidak takut. Tetapi kita tidak suka membazir sumber dan masa bagi hadapi pilihan raya.

“Terpulang kepada Perdana Menteri memutuskan, tapi saya rasa tidak perlu pilihan raya diadakan buat masa ini,” katanya.-Malaysiapost