
STATUS Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 atau ‘total lockdown’ yang akan berakhir Isnin ini, dijangka akan diumumkan hari ini.
Sekatan penuh kecuali sektor perlu itu yang dikuatkuasakan kali pertama sejak 1 Jun lalu telah berakhir pada 14 Jun, sebelum disambung semula sehingga 28 Jun.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka mengumumkan mengenainya hari ini.
Berdasarkan perkembangan kes jangkitan harian Covid-19 ketika ini, kemungkinan besar lockdown akan terus disambung untuk tempoh dua minggu lagi.
Ia berikutan purata kes masih belum di bawah 4,000 untuk tujuh hari berturut-turut seperti disyaratkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi membolehkan negara beralih ke fasa kedua mengikut Pelan Pemulihan Negara.
Selain itu kapasiti katil di unit rawatan rapi (ICU) juga perlu mencapai paras 75 peratus ke bawah di samping 10 peratus populasi yang telah divaksin.
Namun, dijangka beberapa kelonggaran akan diumumkan dalam waktu terdekat termasuk penjualan alat tulis di kedai atau seksyen khas pasar raya susulan permintaan pelbagai pihak untuk kemudahan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
Semalam Malaysia merekodkan 5,812 kes menjadikan keseluruhan kes jangkitan terus meningkat kepada 722,659 kes.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan keputusan sama ada PKP 3.0 disambung atau beralih ke fasa seterusnya akan diumumkan tiga atau dua hari sebelum 28 Jun.
Beliau berkata, pengumuman mengenainya tidak akan dibuat dalam masa terdekat, berikutan perlu menunggu lebih banyak data dianalisa KKM.
Katanya, walaupun kerajaan menentukan indikator tertentu termasuk jumlah kes harian, proses vaksinasi serta kapasiti penggunaan katil ICU, situasi sebenar kes di negara ini sentiasa berubah. – Malaysiapost
