SETIAUSAHA Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa menegaskan bukan amalan beliau bercakap dalam mesyuarat lain, di luar pula cakap lain.
Katanya, semua perkara yang dinyatakan beliau sama ada berkaitan penyertaan Umno dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN), Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sehinggalah keputusan menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dibuat di dalam mesyuarat Umno serta BN.
“Sebagai SUA (Setiausaha Agung) tugas saya adalah berdasarkan apa yang diputuskan mesyuarat… bercakap dalam mesyuarat lain, di luar lain bukan amalan saya.
“Sama ada apa yang saya komen itu popular atau tidak, itu perkara kedua. Sering saya disuruh atau diarah buat kenyataan, saya laksanakan,” katanya yang juga Setiausaha Agung Bersama Muafakat Nasional (MN) dalam ciapan di Twitter hari ini.
Annuar berkata, antara perkara yang disebut beliau berdasarkan keputusan mesyuarat termasuk Umno menyertai kerajaan PN, keputusan menyokong Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, kerjasama Umno, PAS dan Bersatu dalam Muafakat Nasional (MN), BN terus guna lambang dacing serta menggubal manifesto secara bersama.
Keputusan mesyuarat lain, katanya, adalah satu lawan satu dengan pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), pembahagian kerusi, surat jemputan kepada Bersatu menyertai MN serta Umno tidak menyertai protem pendaftaran PN.
“Selagi parti tidak mengubah keputusan, itulah yang perlu saya pegang. Jika keputusan parti tak dipersetujui sesetengah pihak, itu kita serah pada parti.
“Kalau SUA terpaksa tanggung sasaran akibat dari keputusan parti, itu nasiblah, dah memang begitu tugas SUA,” katanya.
Kebelakangan ini ada pemimpin dalam Umno dan BN dilaporkan mempertikai kenyataan yang dibuat Annuar sehingga ada yang menyatakan Menteri Wilayah Persekutuan itu bercakap atas kapasiti peribadi.
Sementara itu, Setiausaha Politik Annuar, Budiman Mohd Zohdi menerusi kenyataan berkata sebagai Setiausaha Agung BN, Annuar adalah pihak yang diberi kuasa untuk menjawab dan mengulas berkaitan isu-isu berbangkit berkaitan BN dan MN.
“Semua jawapan dan ulasan politik TS Annuar adalah selari pedoman Presiden Umno dan Majlis Tertinggi parti,” katanya.
Beliau berkata, melalui dasar politik berimbang, Umno berjaya menjadi kerajaan melalui kerjasama Ahli-Ahli Parlimen Umno, BN, PAS, GPS dan Bersatu dalam Perikatan Nasional.
“Strategi MN ini sudah tentu menakutkan pembangkang dan mereka yang benci dengan perpaduan ummah, dan berusaha untuk mencari jalan supaya gabungan politik sebegini tidak menjadi kenyataan pada PRU15.
“(Maka) Seperti ada wujud gerakan terancang untuk memanipulasi pandangan dan ucapan pemimpin tertinggi Umno, BN dan MN dan TS Annuar salah seorang yang menjadi sasaran serangan.
“Sehubungan itu, pemimpin dan ahli Umno di peringkat akar umbi diminta memberikan kepercayaan kepada pemimpin tertinggi Umno, BN dan MN untuk merancang agenda memenangkan parti,” katanya. – Malaysiapost

