Bantuan i-Sinar, i-Lestari: Kerajaan sedang cari jalan penyelesaian

0
2

MENTERI Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz mengakui kerajaan sedang mencuba untuk mencari jalan penyelesaian yang mampu bagi memenuhi keperluan semua pihak yang terhimpit kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Beliau berkata, pihak Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semalam telah menganjurkan sesi mesyuarat maya, Zoom dengan beberapa orang ‘influencer’ dalam kalangan rakyat bagi mendengar secara terus suara mereka tanpa sebarang tapisan.

“Justeru, saya juga dimaklumkan oleh KWSP bahawa selain para influencer mereka turut menjemput peserta dari Facebook (FB) yang khusus fokus kepada i-Sinar, i-Lestari dan bantuan-bantuan kerajaan.

“Saya sebenarnya memang merancang dan teruja untuk turut serta dalam sesi ini tetapi malangnya saya tidak dapat hadir pada saat akhir disebabkan perkara yang tidak dapat dielakkan,” katanya menerusi FB.

Namun begitu, beliau tetap merakam pandangan untuk dikongsikan bersama peserta sesi semalam.

“Saya juga telah menonton rakaman sesi tersebut kemudian. Banyak idea dan cadangan yang menarik diutarakan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, Kementerian Kewangan dan KWSP sentiasa mendengar luahan dan keluhan orang ramai.

Jelasnya, sesi ini adalah sebahagian usaha mereka untuk mendapatkan maklum balas bagi membentuk dasar dan inisiatif yang memenuhi keperluan dan kehendak rakyat.

Malah, Tengku Zafrul turut memaklumkan beliau telah bermesyuarat bersama Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah dan pengurusan kanan KWSP bagi memperhalusi bantuan yang sesuai untuk Pelan Pemulihan Negara, kelmarin.

“Bercakap tentang Pelan Pemulihan Negara, kami sedar bahawa anda memerlukan bantuan bagi mengharungi fasa 1 dan fasa seterusnya Pelan Pemulihan Negara.

“Ingin saya tekankan bahawa kerajaan sentiasa mempertimbangkan semua cadangan dan penyelesaian yang dikemukakan.

“Satu permintaan yang sering kami terima ialah perlanjutan program i-Sinar dan i-Lestari. Kerajaan faham dan bersimpati dengan kesukaran yang dihadapi rakyat, malah saya juga secara peribadi ada kenalan dan saudara yang memohon i-Lestari dan i-Sinar dalam mereka menghadapi cabaran masa ini,” katanya.

Pada masa yang sama, beliau berkata, ada juga pencarum dan pengulas ekonomi yang mengkritik kerajaan kerana mereka tidak mahu dividen dan simpanan hari tua rakyat tergugat.

“Ia disebabkan kerajaan membenarkan pengeluaran secara besar-besaran dari KWSP.

“Apa yang saya cuba sampaikan di sini ialah ada pelbagai suara menyokong dan membantah. Kami akan cuba untuk mencari penyelesaian yang mampu memenuhi keperluan semua pihak,” ujarnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here