Ku Li gesa kembalikan fungsi Dewan Rakyat demi maruah negara

0
2
Tengku Razaleigh Hamzah

FUNGSI Dewan Rakyat perlu dikembalikan segera bagi mengelak ia semakin tidak dihormati rakyat susulan pelbagai isu melanda negara ketika ini.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, berkata keadaan itu mendorongnya menggesa Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun memperbetulkan keadaan yng berlaku demi maruah negara.

Menurutnya, Dewan Rakyat adalah paksi kepada perlembagaan negara dan sekiranya ia gagal Perlembagaan juga akan gagal sekali gus negara akan terancam.

“Antara tugas pentingnya adalah memastikan calon Perdana Menteri iaitu jawatan keperlembagaan terkanan dengan pelbagai kuasa disokong Dewan Rakyat dan bersih dari korupsi politik.

“Perdana Menteri sekarang ini tidak mempunyai mandat Dewan Rakyat untuk mendapat hak keperlembagaan terhadap jawatannya, manakala Dewan Rakyat pula tidak diberi hak melaksanakan tugas keperlembagaannya untuk menentukan sama ada beliau berhak menjadi Perdana Menteri,” katanya dalam surat yang dihantar kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, tugas Dewan Rakyat juga tidak dihiraukan lagi dan sekali gus bercanggah dengan Sumpah Jawatan yang dibuat Ahli Dewan Rakyat.

“Maka dengan itu timbullah kemelut lompat parti dan keadaan itu memalsukan Dewan Rakyat, ia seolah-olah dipersenda serta rakyat anggap Dewan yang mulia ini sudah kehilangan maruah.

“Orang ramai tidak percaya wakil rakyat yang mungkin janji terhadap ikrar mereka dipilih berasaskan sesuatu sebab atau prinsip tertentu. Umum mengetahui wang dan ketakutan mempengaruhinya,” katanya.

Beliau berkata, keadaan Dewan Rakyat yang semakin tidak dihormati rakyat hendaklah diatasi demi maruah negara dan caranya ialah dengan memastikan Dewan Rakyat menjalani tanggungjawabnya seperti tercatat di dalam Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

“Sebagai Ahli Dewan Rakyat sekiranya saya merasakan badan kehakiman bersalah dari segi perlembagaan maka adalah menjadi tanggungjawab dan hak saya, berasaskan Sumpah Jawatan yang saya lafaz, untuk bersuara dan mencari jalan memperbetulkan kesalahan yang telah berlaku.

“Kesetiaan saya kepada Sumpah Jawatan itulah mendorong saya menulis surat ini kepada Datuk sebagai Yang di-Pertua dan pelindung kepercayaan terhadap betapa pentingnya integriti Dewan Rakyat dikekalkan,” katanya.

Menurutnya, antara isu lain yang perlu ditangani adalah rasuah politik yang mengganggu tugas Dewan Rakyat dengan mengganggu kedudukan dan tugas ahlinya sebagai wakil kawasan pilihan raya mereka.

“Selain itu pada pandangan saya mengguna akuan berkanun salah mengikut Perkara 62(3) Perlembagaan yang menyata dengan terang bahawa “setiap Majlis Parlimen hendaklah, jika tidak sebulat suara, membuat keputusannya mengikut majoriti biasa ahli-ahli yang mengundi”. Tidak merujuk kepada Perkara ini ketika memilih Perdana Menteri adalah kegagalan besar Dewan Rakyat.

“Demokrasi berperlembagaan hanya dapat berfungsi sekiranya pengundi percaya kepada calon yang hendak menjadi wakil rakyat mereka,” katanya.

Menurutnya, apa yang diluahkan adalah bersabit dengan keprihatinan orang ramai dan adalah kewajipannya untuk menyebar surat itu kepada semua ahli Dewan Rakyat dan orang awam. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here