DUA lokaliti di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuatkuasa bermula esok hingga 9 Julai 2021.
Manakala empat lokaliti membabitkan dua daerah di Sabah dikenakan PKPD bermula 27 Jun hingga 10 Julai 2021.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata ia selepas kesemua lokaliti itu mencatatkan peningkatan kes dalam tempoh singkat dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.
Justeru, katanya, PKPD dilaksanakan untuk memastikan penduduk berisiko dijangkiti Covid-19 kekal berada dalam kawasan mereka.
“Pada masa sama, ia akan memudahkan tindakan kawalan Covid-19 dijalankan dengan cepat dan berkesan, seterusnya menghalang penularan lanjut dalam kawasan terlibat serta ke komuniti luar,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semua lokaliti yang dikenakan PKPD adalah seperti adalah Kampung Segambut Dalam, Segambut dan Jalan Kubur, Pantai Dalam, Kuala Lumpur.
Sementara, di Tawau, Sabah membabitkan Kampung Pukat Tanjung Batu Laut dan Kampung Baru Pasir Putih.
Manakala, di Sandakan Sabah pula melibatkan Lorong 12, 15 dan 16, Taman Fajar serta Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Murni. – Malaysiapost

