SEORANG kanak-kanak perempuan maut akibat kecederaan parah di bahagian kepala selepas dilanggar sebuah pacuan empat roda di hadapan rumahnya, semalam.
Kejadian menyayat hati itu berlaku di Jalan Delima, Kampung Cacar Baru Paka, Dungun jam 3 petang, menyebabkan Nur Aira Awatif Mohammad Fadzil, 6, meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.
Menurut Baharudin, ketika kejadian mangsa sedang bermain basikal berhampiran rumahnya bersama dua rakan iaitu Amran, 8, dan Amirah, 7.
Dalam masa sama, sebuah pacuan empat roda dipandu lelaki berusia 59 tahun gagal mengelak kenderaan dan melanggar mangsa.
“Ketika melalui jalan kampung terbabit untuk ke sebuah surau menunai solat Zohor, mangsa dikatakan tiba-tiba keluar dari pagar rumahnya dan pemandu kenderaan itu gagal mengelak sebelum melanggar kanak-kanak terbabit.
“Ibu bapa kanak-kanak terbabit mengejarkan anaknya ke Klinik Kesihatan Paka namun disahkan sudah meninggal dunia,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro hari ini.
Baharudin berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut.
Tambahnya, jenazah sudah dituntut keluarganya untuk dikebumikan dan kes disiasat mengikut seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987,” katanya. – Malaysiapost

