Pelbagai kabilah wujud dalam Umno – Khaled Nordin

0
2

KEWUJUDAN pelbagai kabilah dalam Umno dengan cita-cita masing-masing iaitu untuk diri sendiri dan bukan demi negara, parti, orang Melayu dan Islam adalah masalah akan menewaskan Umno jika tidak diatasi.

Perkara tersebut dinyatakan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang sehubungan itu menekankan pemimpin parti mesti mengendurkan aspirasi peribadi dan mengutamakan hanya aspirasi parti dan negara.

“Kekadang terlalu banyak pertindihan pendirian sehingga ahli dan rakyat jadi bingung pendirian mana yang Umno ini sebenarnya perjuangkan.

“Jika Umno ingin berkelangsungan, maka ia harus teguh dengan keputusan parti dan hanya keputusan parti. Ini maksudnya hanya institusi Presiden dan Majlis Tertinggi sebagai pengemudi perjalanan Umno.

“Segala yang di luar institusi ini bukan mewakili kepentingan parti malah adalah elemen canggahan kepada parti,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Mohamed Khaled berkata sama ada bersetuju dengan individu atau tokoh tertentu dalam kepimpinan parti, itu biarlah disimpan dalam nurani ahli dan pemimpin Umno, namun disiplin parti mesti dikekalkan.

“Mereka yang terpilih dek keputusan perwakilan adalah wakil sebenar parti dan kepada merekalah kita sandarkan keyakinan.

“Tanpa disiplin, parti akan jadi persendaan ahli dan rakyat. Tanpa kesatuan, Umno akan meleset dalam seteruk-teruk kemelesetan,” katanya.

Sehubungan itu, bekas Menteri Besar Johor terbabit meminta semua ‘kabilah’ dalam parti agar mengendurkan cita-cita demi menyelamatkan Umno.

“Kembalilah semua sebagai hanya satu pasukan demi tanah air.

“Namun ini tidaklah bermakna kalian harus memadam cita-cita untuk memimpin bangsa suatu hari nanti. Umno senantisa bersedia menonjolkan hanya yang terbaik jika saat dan ketikanya sampai tetapi mesti dengan mengikut resmi dan tradisi Umno.

“Semoga Allah membuka seluas-luasnya pintu persaudaraan di kalangan kita dan semoga Allah melembutkan hati sang ‘panglima’ dalam Umno untuk bertaut kembali demi Umno yang satu-satunya,” katanya lagi.

Beliau berkata untuk mewujudkan kerajaan yang stabil di Malaysia, Umno mesti jadi sebahagian dari angkubahnya.

Katanya, Pakatan Harapan tumbang kerana peranan Umno menjadi pendesak dan pengaturcara manakala Perikatan Nasional tertubuh kerana Umno memberikan talian hayatnya.

Maka katanya, nasib PN seterusnya adalah dalam percaturan Umno dan parti itulah kunci sebuah pemerintahan yang berfungsi boleh dijelmakan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan Umno tidak boleh lagi berhadapan dengan masalahnya tersendiri.

Beberapa hari lalu, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mendakwa 25 daripada 41 Ahli Parlimen BN tidak yakin dengan ketelusan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai wakil mereka untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Ini kerana, dakwanya mereka kecewa dengan tindakan Zahid yang dikatakan mengemukakan surat sokongan Ahli Parlimen Umno kepada Anwar sebagai Perdana Menteri baharu semasa menghadap Agong pada September 2020.

Kenyataan itu antara lain menggambarkan Umno kini sedang berdepan kemelut dalaman.

Selain itu ada dalam kalangan pemimpin parti yang mempersoalkan keputusan Biro Politik Umno memberi tempoh 14 hari kepada kerajaan supaya Parlimen kembali bersidang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here