TINDAKAN Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggesa kerajaan membuka sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari, seolah-olah mahu memecahkan kesatuan politik Melayu.
Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, ini kerana ramai rakan-rakan dari Umno yang istiqamah tidak mahu PKR dan DAP kembali ke Putrajaya.
Beliau menjelaskan, Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen iaitu Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat kerajaan.
Sehubungan itu, katanya tidak timbul soal derhaka atau tidak kerana ia adalah hal pentadbiran kerajaan yang berasaskan perundangan dan Perlembagaan.
“Maka apabila tempoh notis memanggil sidang ialah 28 hari, peraturan mana dia rujuk untuk mengugut 14 hari?
“Malahan, Tuanku Raja-Raja menitahkan pentingnya kestabilan politik. Apabila Zahid sengaja menggugat kestabilan politik, siapa yang derhaka,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Bagaimanapun Wan Saiful berkata beliau dapat membezakan antara Zahid dan Umno melalui perbualan dengan ramai rakan-rakan daripada parti tersebut untuk lebih memahami situasi.
“Mereka memberitahu saya bahawa mereka sendiri yang akan memberi reaksi.
“Terkini kita lihat bukan sahaja menteri, timbalan menteri dan Ahli-Ahli Parlimen daripada Umno telah memberi reaksi, malah pemimpin akar umbi Umno dan komponen Barisan Nasional juga ada yang telah bersuara,” katanya.
Katanya lagi, ramai orang Umno yang berbeza daripada Zahid dan beberapa individu lain yang mengepalai ‘kempen merungut’ dalam negara.
“Orang Umno di akar umbi berpengalaman berpuluh tahun dengan perjuangan politik untuk agama, bangsa dan tanah air.
“Mereka mahu penyatuan politik Melayu dan menolak usaha membawa DAP menjadi kerajaan, apatah lagi usaha menjadikan Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri,” katanya.
Isnin lalu, Ahmad Zahid menerusi kenyataan berkata Biro Politik Umno mencapai kata sepakat untuk memberi notis 14 hari kepada kerajaan agar memanggil sidang Parlimen. – Malaysiapost

