3 individu ditahan tawar vaksin Covid-19 RM420

0
2
vaksin covid pkp

TIGA individu ditahan selepas dipercayai menawarkan penjualan vaksin Covid-19 dengan harga RM420 bagi dua dos suntikan.

Ketiga-tiga suspek, iaitu dua wanita dan seorang lelaki berusia 25 hingga 50 tahun ditahan sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya dan Bahagian Risikan/Operasi JSJK Kuala Lumpur dalam satu serbuan semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita iaitu Pegawai Penyelidik Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) yang mendapat maklumat mengenai aktiviti penjualan vaksin berkenaan.

“Hasil maklumat risikan, polis membuat serbuan dan tangkapan terhadap tiga individu di Putrajaya dan Brickfields yang dipercayai terbabit dalam aktiviti berkenaan serta merampas enam telefon bimbit dan beberapa dokumen.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 / 511 Kanun Keseksaan iaitu cubaan menipu dan kesemua suspek direman mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah selama tiga hari bermula hari ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua suspek bekerja sebagai pegawai pemasaran di syarikat swasta dan modus operandi mereka adalah menghubungi orang awam secara rawak melalui telefon untuk menawarkan suntikan vaksin Covid-19.

“Suspek menawarkan RM420 bagi dua dos suntikan vaksin Covid-19 dan bayaran akan dibuat selepas suntikan diberikan kepada pelanggan.

“Ketua Sekretariat CITF Persekutuan telah mengesahkan bahawa Jawatankuasa Jaminan Akses Vaksin Covid-19 (JKJAV) tidak memberi kelulusan kepada mana-mana pihak untuk menjual vaksin Covid-19,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak menerima tawaran dari mana-mana pihak yang menjual vaksin Covid-19.

“Sekiranya orang ramai mempunyai maklumat tentang aktiviti penjualan vaksin Covid-19, hubungi hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Sekretariat CITF di talian 03-8893 4303/4304,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here