Berani buat berani tanggung, kata Puad kepada Hishammuddin

0
3

AHLI Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi mempersoalkan tindakan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang membisu berhubung isu perakuan bersumpah (SD) melibatkannya.

Mohd Puad berkata, bekas Naib Presiden Umno itu perlu bertanggungjawab atas apa yang dilakukannya dan jangan sesekali menyekat kebangkitan Umno.

“(Datuk Seri) Nazri (Aziz) buat pengakuan terbuka. Dia dalang SD 25 Ahli Parlimen Umno yang sokong Hishamuddin jadi jurucakap jika dititah mengadap Agong.

“Hishammuddin tidak menafikannya. Dia kekal membisu. Bolehlah disimpulkan dakwaan Nazri itu benar. Dengan kata lain mesti Hishammuddin merestuinya.

“Semalam tular surat Hishammuddin guna logo BN. Ia lengkap senarai anggota Kabinet baru. Cepat pula wakil Hishamuddin nafi dan dakwa surat itu palsu,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Semalam, Nazri mendakwa majoriti daripada 42 Ahli Parlimen BN telah hilang kepercayaan terhadap Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ketika dihubungi Malaysiapost, Nazri berkata beliau telah mendapatkan pengakuan melibatkan 25 Ahli Parlimen BN bahawa mereka akan memberi mandat kepada Hishammuddin sebagai jurucakap dan mengambil keputusan yang terbaik untuk parti sekiranya Ahli Parlimen Sembrong itu dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Mengulas lanjut, Mohd Puad berkata Hishammuddin tiada kelayakan untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong memandangkan beliau tidak memegang apa-apa jawatan.

Malah katanya jika Hishammuddin setia kepada parti, beliau tidak akan membuat perundingan lain kerana ia akan merosakkan parti.

“Sebab itu Hishammuddin tidak boleh mengelak dari pelbagai persepsi. Kononnya dia takut didakwa, mahu jadi TPM (Timbalan Perdana Menteri) dan ‘power broker’ Umno kepada PM8?

“Hishammuddin kena terima persepsi tersebut. Berani buat berani tanggung. Berapa kali kerja belakang pintu tanpa restu parti mahu dibuat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here