Lelaki lakukan amang seksual terhadap kanak-kanak diburu

0
3

SEORANG lelaki kini diburu selepas dipercayai melakukan perbuatan kelucahan melampau terhadap dua kanak-kanak lelaki di sebuah pangsapuri di Seksyen 19, Petaling Jaya, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Fakhruddin Abdul Hamid, berkata pihaknya menerima laporan jam 11.15 pagi Isnin lalu daripada seorang wanita mengenai kejadian amang seksual berkenaan.

“Wanita tempatan berusia 40 tahun itu mendakwa dua anak lelakinya berusia lapan dan sembilan tahun diganggu secara seksual oleh lelaki yang tidak dikenalpasti.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa menaiki tangga untuk menjual kuih di kawasan kediaman mereka sebelum tiba-tiba datang seorang lelaki menarik tangan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, suspek yang dipercayai berusia pertengahan 20-an itu kemudian dipercayai melakukan kelucahan melampau terhadap mangsa.

“Kedua-dua mangsa yang ketakutan berlari pulang ke rumah mereka sambil menangis.

“Kes kini disiasat mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Sesksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya.

Beliau berkata, lakaran wajah suspek telah dibuat berdasarkan beberapa diskripsi seperti berbadan kurus, usia lingkungan 26 tahun, rambut pendek warna hitam dan ketinggian lebih kurang 168 sentimeter.

“Orang ramai yang tahu tentang kejadian atau mengenai diskripsi suspek seperti dinyatakan diminta tampil ke balai polis berhampiran atau berhubung dengan Inspektor M Naresh Kumar di talian 016-9757113,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here