PENYANYI rap dan usahawan, Caprice akan menyertai misi kemanusiaan ke Gaza dan meminta rakyat Malaysia mendoakan perjalanannya dipermudahkan di bumi Palestin.
Perkara tersebut dikongsi menerusi video yang dimuat naik di Instagramnya, yang memaparkan dia sudah berada di lapangan terbang untuk berangkat.
Caprice adalah antara selebriti yang kuat memperjuangkan nasib rakyat Palestin.
“Tolong doakan saya Malaysia. Di saat akhir Caprice dapat kebenaran untuk masuk ke Cairo-Gaza.
“Cuma kita kena terbang seorang diri malam ini. Maafkan segala kesalahan saya dan halalkan makan serta minum.
“Insya-Allah, suatu hari nanti saya akan membuat anda bangga. Demi ummah, rakyat serta negara,” tulisnya semalam.
Dalam pada itu, menerusi Instastory, Caprice meluahkan perasaan terpaksa meninggalkan ibu dan bapanya.
Namun, dia pernah berkata tidak akan menoleh ke belakang selepas keputusan dibuat.
Semakan Malaysiapost di ruang Instastory mendapati Caprice kini sudah berada di Dubai dan sedang menunggu penerbangan seterusnya ke Mesir. – Malaysiapost

