Laut jadi ‘pejabat’ urusniaga kartel seludup rokok

0
3

PERAIRAN negara kini dijadikan platform utama bagi kartel penyeludupan rokok yang mampu menjana keuntungan mencecah puluhan ribu setiap hari dan pendapatan bulanan pula dianggarkan jutaan ringgit.

Kartel ini bertindak mengupah tekong terdiri daripada pengendali kapal kargo, pemilik bot atau nelayan-nelayan yang mencari pendapatan sampingan untuk membawa rokok seludup memasuki perairan Malaysia.

Menurut sumber, tekong atau keldai rokok seludup ini akan menunggu di tengah laut, perairan sempadan antara negara jiran bagi memunggah hasil seludupan dibawa pembekal dari seberang, sebelum di bawa ke pesisir pantai sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.

“Keldai rokok seludup ini akan bayar antara RM4,000 hingga RM10,000 ikut kapasiti muatan serta hasil pungguhan rokok seludup itu.

“Mereka berurusan di tengah laut, pembayaran dan pemunggahan barang seludup itu diselesaikan di situ saja. Memang mereka cekap lakukan kerja-kerja menyeludup ini sebab sudah bertahun-tahun beroperasi,” katanya.

Sumber yang enggan identitinya didedahkan berkata, kegiatan kartel penyeludupan rokok ini didalangi seorang lelaki yang kini digelar sebagai ‘Raja Penyeludup Rokok Malaysia’ dalam rangkaian penyeludupan rokok di sekitar pantai barat Semenanjung.

Aktiviti penyeludupan rokok kartel milik suspek berkenaan menggunakan modus operandi terancang, dibantu penggunaan teknologi GPS dan khidmat pemberi maklumat atau ‘tonto’ yang memantau pergerakan serta rondaan pihak berkuasa.

“Kumpulan penyeludup bergerak secara tersusun bermula dari pemunggahan muatan di tengah laut, pergerakan membawa rokok haram ke pesisir pantai sehinggalah pengangkutan darat untuk sampai ke gudang rahsia mereka.

“Malah mereka juga seperti tahu gerak geri dan juga jadual rondaan pihak berkuasa sehingga setiap kali mampu meloloskan diri daripada ditahan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here