Tun M bimbang vaksin tak cukup untuk penduduk Langkawi

0
2

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bimbang bekalan vaksin untuk penduduk Langkawi tidak mencukupi bagi mencapai sasaran 80 peratus penduduk menerima suntikan vaksin dalam tempoh tiga bulan ini.

Ahli Parlimen Langkawi itu, berkata jumlah sasaran penduduk divaksin itu perlu dicapai bagi memastikan pintu pelancong di pulau ini dapat dibuka semula pada November ini.

“Syaratnya kita dapat (bekalan) vaksin, kalau tak ada vaksin, macam mana kita buat pun, tak boleh suntik,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian selepas meninjau program suntikan vaksin di Dewan As-Syifa, Padang Matsirat, Langkawi hari ini.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, merealisasikan usaha itu, sebanyak dua pusat pemberian vaksin (PPV) dibuka iaitu Dewan As-Syifa, Padang Matsirat dan Kompleks Sukan Lembaga Pembangunan Langkawi di Kuah.

“Program Outreach Imunisasi Covid-19 juga diadakan di Pulau Tuba, bagi memberi kemudahan kepada penduduk di kawasan itu mendapatkan suntikan vaksin,” katanya.

Beliau memberitahu, jumlah keseluruhan penduduk yang layak menerima vaksin ialah seramai 76,400 orang.

Katanya, daripada jumlah itu, mereka yang mendaftar menerusi aplikasi MySejahtera untuk Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan pula seramai 53,800 orang.

“Daripada jumlah itu, seramai 21,445 orang atau 28 peratus telah menerima suntikan dos pertama dan 10,501 orang atau 14 peratus pula dos kedua.

“Jumlah penduduk yang belum disuntik vaksin pula seramai 54,955 orang atau 32 peratus. Secara peruta sebanyak 1,200 orang di pulau ini menerima suntikan vaksin,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here