PENDIRIAN Umno yang mendesak kerajaan memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari, adalah sebagai tanda menyokong sepenuhnya saranan Yang di-Pertuan Agong dan Institusi Raja-Raja Melayu.
Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tindakan itu juga bagi memulihkan semula dengan kadar segera demokrasi di negara ini bagi mengembalikan sepenuhnya fungsi Parlimen.
Katanya, titah Yang di-Pertuan Agong dan pandangan Majlis Raja-Raja meminta Persidangan Parlimen diadakan segera itu juga amat wajar dan bertepatan, serta disifatkan prihatin dan bijaksana.
“Bila Presiden memberikan Kerajaan 14 hari untuk memanggil persidangan Parlimen, tujuannya dalam pandangan saya hanya dua.
“Pertama menyokong dengan sepenuhnya saranan institusi raja. Dan kedua, memulihkan semula, dengan kadar segera demokrasi di negara ini bagi mengembalikan sepenuhnya fungsi Parlimen.
“Pendirian ini insyallah akan dibawa ke Majlis Tertinggi untuk ketetapan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mohamad berkata, pendirian Umno selama ini sangat jelas bahawa institusi raja mesti dipertahankan dan demokrasi mesti di kembalikan dengan memanggil persidangan Parlimen.
Katanya, beliau berpandangan bahawa Parlimen wajar menjalankan peranannya sesuai dengan doktrin pemisahan kuasa.
“Semasa persidangan Parlimen, apa jua perkara boleh dibahaskan tetapi mestilah sesuai dengan peraturan mesyuarat.
Semalam, Umno mendesak kerajaan untuk memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari.
Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ia susulan pandangan dizahirkan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu supaya sidang berkenaan diadakan secepat mungkin.
“Sebagai sebuah parti yang diasaskan atas tujuan memelihara dan membela institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan Umno, satu Mesyuarat Khas Majlis Kerja Tertinggi akan diadakan bagi memuktamadkan tindakan selanjutnya,” katanya. – Malaysiapost

