Ahli Dewan Negara PH sokong kenyataan Rais Yatim

0
2

SERAMAI 19 Ahli-Ahli Dewan Negara daripada Pakatan Harapan (PH) menyokong penuh kenyataan Yang Dipertua Dewan Negara bahawa Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa autoriti semasa darurat untuk memanggil Ahli Parlimen kembali bersidang.

Menerusi kenyataan hari ini, mereka berkata kenyataan Tan Sri Dr Rais Yatim itu adalah berdasarkan Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021, pada Seksyen 14 (1)(b) yang memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil, memprorog (melanjutkan) dan membubarkan Parlimen.

“Seiring pandangan Yang Dipertua Dewan Negara, kami berpendapat kuasa tersebut telah diturunkan terus kepada Seri Paduka Baginda dan ia adalah penyerahan kuasa lengkap bersesuaian dengan tempoh Darurat yang masih berlangsung.

“Kami menjunjung kasih titah Seri Paduka Baginda dan Majlis Raja-Raja atas kenyataan berhubung keperluan negara untuk segera keluar daripada kegagalan mengawal dan mengurus bukan sahaja masalah pandemik Covid-19, malah ekonomi negara dan perpaduan sosial rakyat keseluruhan.

“Kami juga ingin menzahirkan kebersamaan kami dengan Tuanku yang menekankan betapa pentingnya kestabilan politik dan keperluan adanya sebuah kerajaan yang mendapat mandat rakyat bagi memerangi Covid-19 secara berkesan,” kata kenyataan itu.

Mereka juga berpandangan adalah amat jelas akan titah Seri Paduka Baginda yang menggesa agar Parlimen segera bersidang.

Malah kenyataan Majlis Raja-Raja Melayu yang senada menyeru agar sidang Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dipanggil segera adalah isyarat jelas kepentingan negara ini untuk terus memelihara prinsip Demokrasi Berparlimen dan Keluhuran Perlembagaan.

“Parlimen perlu segera kembali berfungsi sebagai platform semak imbang tatakelola serta perjalanan pentadbiran kerajaan, membahas Ordinan-Ordinan Darurat serta Pelan Pemulihan Negara, membincang lumat akan segala peruntukan perbelanjaan kerajaan bagi membantu rakyat secara adil dan menyeluruh.

“Kami konsisten menekankan bahawa sebarang keputusan berkaitan menangani krisis politik, kesihatan dan ekonomi negara sewajarnya dilakukan di Parlimen sebagai institusi tertinggi demokrasi yang mewakili suara semua rakyat.

“Parlimen dan DUN adalah hak rakyat dan tempat di mana hak dan suara mereka didengar secara jelas, terarah dan konstruktif,” katanya lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here