DAP sokong usul naikkan bantuan bulanan JKM kepada RM1,000

0
3

DAP menyokong cadangan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menaikkan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) antara RM200 dan RM300 pada masa ini kepada RM1,000.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata bantuan itu amat perlu dinaikkan ketika negara menghadapi krisis ekonomi susulan penularan Covid-19

Ini kerana, kata bekas Menteri Kewangan itu, ramai rakyat kini kehilangan pekerjaan dan perniagaan mereka terjejas.

“Oleh itu adalah penting kerajaan menukar fokus kewangan mereka daripada sebelum ini, iaitu sebelum ini kerajaan kita (Pakatan Harapan (PH) nak menguruskan dan mengawal pinjaman kerajaan Persekutuan supaya tidak terlampau tinggi.

“Sekarang kerana krisis ekonomi, kita harus tukar daripada mengawal dan menguruskan hutang dan pinjaman kerajaan Persekutuan kepada meminjam lebih banyak wang, kalau perlu berpuluh-puluh bilion pun pinjam.

“(Ini) Untuk menyelamatkan masa depan pekerjaan dan perniagaan rakyat Malaysia,” katanya menerusi video yang dimuat naik di Facebooknya malam tadi.

Guan Eng berkata, krisis ekonomi ketika ini telah menyebabkan kadar pengangguran meningkat kepada 4.9 peratus atau 773,000 rakyat Malaysia ketiadaan pekerjaan.

“Dengan bantuan RM1,000 ini kita jangka mereka sekurang-kurangnya boleh mendapat bantuan untuk menghadapi masalah yang sukar ini,” katanya.

Beliau berkata, ketika ini kos bagi bantuan kebajikan kepada 500,000 penerima adalah kira-kira RM1.7 bilion dan jika bantuan dinaikkan dengan kadar pengangguran yang meningkat kini, dianggarkan sejuta rakyat akan dapat manfaat RM1,000 sebulan.

“Ini akan menaikkan kos kerajaan kepada RM12 bilion setahun berbanding RM1.7 bilion sekarang. Tetapi pinjaman harus dibuat supaya kita dapat menyelamatkan rakyat Malaysia,” katanya.

Kelmarin, Muhyiddin mengusulkan agar bantuan bulanan JKM yang pada masa ini berjumlah antara RM200 dan RM300 kepada mereka yang layak dinaikkan RM1,000.

Perdana Menteri berkata, cadangan itu akan beliau kemukakan pada mesyuarat jemaah menteri minggu depan.

Beliau mengakui ia akan menyebabkan implikasi besar, namun apa yang penting rakyat yang susah dapat dibantu. – Malaysiapost