Mesir sedia pastikan bantuan kemanusiaan Malaysia sampai ke Gaza

0
2

PUTRAJAYA dan Kaherah sepakat bekerjasama dalam usaha memastikan bantuan kemanusiaan dari Malaysia sampai ke Gaza melalui sempadan Rafah di Mesir.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddi Hussein berkata perkara itu antara perkembangan positif dalam Mesyuarat Dua Hala beliau dengan Menteri Luar Mesir, Sameh Hassan Shoukry.

Antara perkembangan positif lain dikongsi beliau ialah kesepakatan untuk membawa masuk lebih banyak minyak serta produk sawit Malaysia ke pasaran Mesir.

“(Selain itu) Penerimaan baik Mesir terhadap permohonan kita agar kira-kira 8,000 pelajar Malaysia di Mesir diberi keutamaan dalam mendapatkan suntikan vaksin.

“Senada tentang potensi jalinan usahasama ke arah pengiktirafan sijil vaksinasi masing-masing.

“Serta meluaskan peluang untuk lebih banyak sektor swasta dari Malaysia terlibat dalam projek New Administrative Capital dan Suez Canal Economic Zone,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Hishammuddin berkata, kedua-dua pihak juga bersetuju untuk penyusunan semula mekanisma Mesyuarat Suruhanjaya Bersama (JCM) yang akan dipengerusikan Menteri Luar masing-masing.

Kali terakhir JCM peringkat menteri diadakan pada tahun 2008.

Terdahulu Hishammuddin memulakan lawatan kerja ke Mesir hari ini dengan mengadakan pertemuan bersama Presiden Mesir, Abdel Fattah Al Sisi.

Beliau gembira dengan komitmen disuarakan Presiden Sisi untuk memastikan hubungan kedua-dua negara dapat ditingkatkan ke tahap lebih tinggi demi manfaat bersama dalam pelbagai bidang.

“Ini termasuklah usaha pemulihan di era pasca pandemik – saya dan Menteri Luar Negeri Mesir akan terus bekerjasama rapat dalam melaksanakan setiap perancangan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here