Ketetapan Umno selari keputusan sidang khas Majlis Raja-Raja

0
2

Umno Subang sambut baik ketetapan Biro Politik Umno yang berpendirian tegas untuk mendesak kerajaan menghormati titah Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Pemerintah agar memanggil sidang Parlimen dalam tempoh 14 hari.

Ketuanya, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata ketetapan itu selari dengan keputusan Persidangan Khas Majlis Raja-Raja Melayu Jumaat lalu.

“Saya mewakili Umno Bahagian Subang menyokong dan menyambut baik ketetapan oleh Biro Politik Umno yang dipengerusikan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Di mana pendirian Umno selari dengan keputusan Majlis Raja-Raja Melayu bagi sistem demokrasi negara iaitu Parlimen dibuka untuk raikan demokrasi terutama dalam isu kepentingan rakyat dan negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Armand Azha, pendirian Umno juga selari dengan Perlembagaan parti itu untuk memelihara dan membela Institusi Raja-Raja Melayu.

“Umno sebuah parti yang diasaskan atas tujuan memelihara dan membela Institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan Umno.

“Insya-Allah akan ada mesyuarat khas Majlis Kerja Tertinggi bagi memuktamadkan tindakan selanjutnya,” katanya.

Terdahulu hari ini, Ahmad Zahid menerusi kenyataan berkata kegagalan kerajaan melaksanakan titah tersebut dianggap satu bentuk penderhakaan dan tidak menghormati Institusi Raja-Raja Pemerintah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here