Kilang tipu hasilkan pelitup muka, sebenarnya buat baju renang

0
3

POLIS mengesan terdapat kilang di daerah Kuala Muda di Kedah menipu Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) kononnya mengeluarkan produk pelitup muka, sebaliknya menghasilkan pakaian renang.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata menerusi operasi pemantauan yang dibuat, pihaknya juga mengesan kilang yang menyalahgunakan surat kebenaran MITI untuk beroperasi.

“Mereka menunjukkan surat MITI kononnya dibenar beroperasi sebab mengeluarkan pelitup muka yang antara barang perlu, namun apabila diperiksa, kita dapati mereka kilang yang mengeluarkan pakaian renang.

“Ada juga kilang mengeluarkan arang kayu dan bahan kitar semula logam yang semuanya industri tidak dibenarkan beroperasi,” katanya dipetik Harian Metro hari ini.

Adzli berkata, sejak 1 Jun lalu, pihaknya memeriksa 43 kilang dan daripada jumlah itu 10 kompaun dikeluarkan ke atas perindustrian melanggar prosedur operasi standard (SOP).

Selain itu, katanya, 275 kompaun membabitkan pelbagai kesalahan dikeluarkan ke atas individu ingkar SOP, antaranya kerana berkumpul di tempat awam, minum arak, parti liar, kenduri, mengadakan majlis cukur jambul, merentas negeri tanpa kebenaran dan tidak memakai pelitup muka.

Beliau memberitahu, jumlah terkini semua kompaun dikeluarkan hampir RM1 juta dan semua pihak diingatkan supaya mematuhi arahan dan patuh SOP bagi mengekang penularan Covid-19. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here