KEMENTERIAN Kerja Raya akan meneliti laporan daripada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) berhubung insiden perancah besi yang jatuh di Persimpangan Bertingkat Kota Damansara, Lebuhraya Lembah Klang Selatan (NKVE) yang membabitkan kerja pembinaan Lebuhraya Damansara – Shah Alam semalam.
Kementerian itu dalam kenyataan memaklumkan, kesal dengan insiden itu dan syarikat konsesi iaitu Projek Lintasan Damansara Shah Alam Sdn Bhd (PLDSASB) telah diarahkan menghentikan serta-merta kerja yang melibatkan struktur sementrara.
“Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan juga Jurutera Perunding iaitu Zaidun Leeng Sdn Bhd pula diarahkan menyediakan laporan lengkap dalam tempoh seminggu,” menurut kenyataan itu hari ini.
Menurut KKR, semasa kerja menuang konkrit, kawasan pembinaan ditutup sepenuhnya kepada pengguna sepertimana prosedur yang telah ditetapkan.
“Kerja-kerja dengan menggunapakai kaedah kejuruteraan sama melibatkan 14 lokasi di kawasan tersebut, di mana empat telah disiapkan. Kejadian melibatkan lokasi kelima yang sedang giat dilaksanakan.
“Semakan awal LLM juga mendapati reka bentuk perancah adalah teratur dan disahkan Jurutera Perunding. Bagi kerja di 10 lokasi lain hanya boleh diteruskan setelah laporan audit Jurutera Perunding Bebas (ICE) dikeluarkan,” menurut kenyataan itu.
Kementerian memaklumkan, pihak konsesi juga telah diarahkan memberi bantuan sewajarnya kepada mangsa terbabit dalam insiden berkenaan dan sebagai langkah keselamatan lorong kanan kedua-dua hala di Lebuhraya NKVE di kawasan insiden ditutup sepenuhnya.
Dalam insiden jam 7.15 malam semalam, dua pekerja warga Bangladesh cedera selepas perancah besi membabitkan kerja pembinaan Lebuhraya Dash jatuh. – Malaysiapost

