BADAN Pimpinan Negeri (BPN) Bersatu negeri Pahang menyokong sepenuhnya kepimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin demi masa depan negara, terutama dalam menghadapi cabaran pandemik Covid-19.
Ketuanya, Datuk Saifuddin Abdullah, berkata pendirian itu dibuat oleh BPN Bersatu Pahang dalam mesyuarat yang diadakan hari ini.
“BPN telah mencapai satu kesepakatan dan secara sebulat suara dengan ini menyokong penuh kepimpinan Perdana Menteri yang juga Presiden Bersatu Malaysia.
“Kami juga menyatakan sokongan tidak berbelah bagi kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, Bersatu Pahang turut akan terus bersama kepimpinan rakan-rakan komponen PN, sama ada di peringkat pusat dan juga negeri.
“Keputusan ini dibuat dengan mengambil kira perkembangan politik semasa dan masa depan negara, terutamanya dalam negara sedang menghadapi cabaran pandemik Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

