Suspek pecah tabung derma anak yatim ditahan

0
2
Polis Di Raja Malaysia

DUA individu ditahan selepas memecah tabung derma anak yatim yang diletakkan di Masjid Al-Faizin, Kampung Bukit Lintang, Melaka semalam.

Suspek berusia 16 dan 29 tahun itu ditahan antara jam 2.45 hingga 3 petang oleh anggota Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di kawasan perumahan di Ayer Molek.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata polis menerima laporan pada jam 9.55 pagi daripada seorang jemaah mengatakan berlaku kejadian pecah tabung derma di masjid itu.

Beliau berkata, semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati dua suspek memakai topi keledar dan pelitup muka masuk ke masjid pada jam 4.32 pagi.

“Tangkapan pertama dibuat ke atas remaja lelaki sebelum tangkapan kedua kira-kira 15 minit kemudian di kawasan perumahan sama.

“Polis turut merampas wang tunai RM165, alat pemotong besi, topi keledar, pakaian, walkie talkie serta pengecas,” katanya memetik Harian Metro.

Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan wang sumbangan di dalam tabung derma milik Maahad Tahfiz Darul Quran Wal Qiraat Melaka Pindah, Alor Gajah itu berjumlah RM278.

“Dengan tertangkapnya dua suspek itu, polis telah menyelesaikan empat kes iaitu pecah masuk pejabat sekolah dan pecah tabung masjid di Kandang serta Tiang Dua.

“Semakan mendapati remaja itu mempunyai rekod jenayah mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan manakala rakannya Seksyen 457 kanun sama,” katanya.

Afzanizar berkata, suspek dibawa ke mahkamah bagi permohonan reman bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

“Mereka juga dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) untuk ujian saringan air kencing,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here