KPM buka permohonan khas 18,702 guru secara ‘one-off’

0
2

Nurul Huda Abhar

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan melaksanakan pengambilan khas guru secara ‘one-off’ melibatkan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Gred DG41 bagi mengisi kekurangan guru dalam mata pelajaran tertentu.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pengambilan khas guru itu membabitkan 18,702 kekosongan dan permohonan akan bermula pada 7 Julai ini.

“Di luar sana ramai anak-anak kita mempunyai kelayakan pendidikan tetapi tidak dipanggil atau tidak dapat ruang untuk mengajar.

“Antara cabarannya adalah ketidakpadanan kepada pilihan mata pelajaran. KPM perlukan jumlah bekalan tertentu tetapi bekalan (guru) yang ada amat terhad.

“Negeri yang jumlah kekosongan guru tertinggi contohnya Sarawak. Bukan sahaja kekosongan tinggi tetapi jumlah pengisian rendah berbanding tempat lain.

“Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah memberi kelulusan khas pengisian jawatan untuk guru di KPM dan mendapat persetujuan Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dari segi pelantikan guru baharu,” katanya dalam sidang media khas hari ini.

Radzi menjelaskan, penempatan bagi guru-guru yang layak dalam pengambilan khas itu akan bermula Oktober 2021 dan diagihkan mengikut keperluan KPM.

Menurutnya, pengambilan khas guru itu menggunakan pendekatan baharu bagi mengisi keperluan iaitu mengambil kira graduan yang bukan daripada ikhtisas pendidikan.

“Keutamaan diberikan kepada graduan pendidikan namun kita lihat lebih holistik apakah kelulusan lain yang boleh dipertimbangkan bagi pengambilan kali ini.

“Ingin saya tekankan ini kaedah ‘one-off’ mengambil kira kekurangan pilihan mata pelajaran mana yang kritikal. Jika garaduan Pendidikan tidak dapat memenuhi, maka kaedah bersesuaian akan dilihat SPP,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here