PEMIMPIN politik diingatkan supaya tidak mengeluarkan kenyataan melampau hingga boleh memecah-belah masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dalam kenyataannya hari ini menyebut kenyataan berbaur perkauman perlu dielak sama sekali demi kebaikan negara.
“Saya ingin mengingatkan pemimpin politik terutama PAS agar tidak mengeluarkan kenyataan yang melampau hingga boleh memecah-belahkan masyarakat pelbagai kaum di negara ini.
“Kenyataan bersifat perkauman bukan langkah yang harus dilakukan jika ingin melihat negara ini maju ke hadapan.
“Jika rakyat tidak belajar apa yang berlaku di Amerika Syarikat dan Timur Tengah yang mempunyai amalan perkauman yang tebal serta ektremisme agama, maka perpaduan dan kemakmuran tidak akan dapat dikecapi,” katanya.
Beliau merujuk kenyataan Ahli Parlimen Pasir Puteh, Nik Muhammad Zawawi Salleh ketika berbahas di Dewan Rakyat, baru-baru ini yang mendakwa kitab Injil digunakan masyarakat Kristian di negara ini sudah terpesong.
“Kenyataan itu menimbulkan kemarahan masyarakat Kristian termasuk pemimpin gereja seluruh negara yang mendesak beliau untuk memohon maaf.
“Kenyataan yang melampau tidak seharusnya dikeluarkan kerana tidak mendatangkan kebaikan kepada masa depan generasi kita.
“Pemimpin tidak boleh hanya bergantung kepada landasan politik semata-mata kerana itu boleh menghancurkan perpaduan kaum yang ada,” katanya.
Jelasnya, bagi mengekalkan perpaduan, rakyat perlu bersatu dalam membina negara dan bangsa.
“Jangan disebabkan ingin berkuasa dan inginkan sesuatu, kita ketepikan keharmonian yang ada pada hari ini.
“Kita perlu pelihara perpaduan hari ini demi kepentingan generasi akan datang. Sekiranya kita tunjukkan contoh yang buruk, itu akan mendatangkan bahaya kepada kita,” katanya.
Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), berkata jika kaum dan agama menjadi pegangan tanpa batasan atau memikirkan kepentingan nyawa manusia, pembunuhan boleh berlaku kerana wujud ektremisme dalam kalangan masyarakat.

