Musang King Raub: Saya orang awal bersuara – Najib

0
3

Aiman Hanif

DATUK Seri Najib Razak mendakwa beliau antara orang yang awal membangkitkan soal tanah ladang durian di Raub.

Bekas Perdana Menteri berkata demikian sebagai respon terhadap pihak yang mendakwa beliau tidak menyentuh tentang isu berkenaan.

“Ada yang tuduh saya tak sentuh isu tanah ladang durian di Raub. Sebenarnya, saya antara paling awal memberi pendapat tentang isu ini.
“Bagaimanapun, saya diberitahu bahawa Menteri Besar Pahang sedang meneliti isu ini.

“Sebab itu, kita beri ruang yang sepatutnya kepada mereka untuk menjalankan tugas,” kata Najib dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.

Pada28 Ogos lalu, media melaporkan 111 pekebun durian yang meneroka tanah kerajaan negeri, berjaya mendapat Perintah Pergantungan Sementara terhadap notis pengosongan tanah kebun dan pajakan mereka di beberapa lokasi sekitar Raub.

Peguam, Siew Choon Jern, yang mewakili kumpulan pekebun terbabit, berkata perintah itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan, Datuk Zainal Azman Ab Aziz, selepas mendengar hujahan daripada pemohon dan wakil responden berhubung tuntutan terbabit.

Beliau berkata, mahkamah tiada bantahan, sekaligus membenarkan pergantungan notis dikeluarkan responden sehingga tarikh pendengaran semula permohonan yang dijadualkan pada 28 Oktober depan.

Pada 12 Ogos, kerajaan negeri menerusi Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang akan mengambil alih tanaman durian dan buah-buahan yang diusahakan secara haram di sekitar Kampung Sungai Ruan dan Kampung Chalit, Raub mulai 24 Ogos ini.

Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Pahang dalam satu kenyataan memaklumkan, ia berikutan keputusan kerajaan negeri yang hanya memberi kebenaran memasuki dan menduduki tanah kerajaan dan hutan simpan di sekitar kampung berkenaan kepada syarikat usaha sama kerajaan negeri sahaja.- Malaysiapost