SEORANG wanita maut selepas kenderaan yang dipandu remuk dirempuh lori membawa muatan makanan ayam yang dipercayai terbabas di Jalan Jelapang di Ipoh pagi tadi.
Mangsa, Noor Aishah Mohd Tahir, 26, maut di tempat kejadian akibat cedera parah pada bahagian kepala.
Ketua Zon 1 Bomba dan Penyelamat Jelapang, Nor Rasidamayati Abd Rasid berkata pihaknya menerima panggilan pada jam 10.28 pagi sebelum menghantar sepasukan anggota ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian terdapat satu kereta berada di bawah lori dan terdapat seorang mangsa wanita di dalam kenderaan terbabit.
“Tindakan awal yang diambil adalah membersihkan tumpahan minyak yang berada di kawasan ini dan memotong punca elektrik yang berada di kawasan ini bagi memastikan operasi berjalan dengan selamat.
“Anggota menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang kemudiannya disahkan sudah meninggal dunia oleh petugas kesihatan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Nor Rasidamayati berkata, bomba terpaksa menggunakan kren untuk mengangkat lori berkenaan bagi mengeluarkan mangsa dari dalam keretanya yang remuk.
“Operasi melibatkan tujuh anggota mengambil masa empat jam setengah untuk mengeluarkan mangsa dan operasi selesai sepenuhnya pada jam 2.08 petang,” katanya. – Malaysiapost

