TINDAKAN mengenepikan wakil Pembangkang dari Jawatankuasa Khas Parlimen Hibrid mengenai bentuk, prosedur dan format Parlimen hibrid adalah satu duluan berbahaya, kata Lim Guan Eng.
Setiausaha Agung DAP itu menerusi kenyataan berkata ia bukan sahaja melanggar konvensyen Parlimen, malah penyalahgunaan kuasa yang mengikis prinsip asas Parlimen sebagai sumber punca demokrasi.
Sehubungan itu, beliau berkata, bekas Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming dinamakan wakil Pakatan Harapan (PH) bagi Jawatankuasa Khas Parlimen Hybrid.
“Saya telah menulis surat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun pada 9 Jun bahawa Ahli Parlimen Pembangkang memainkan peranan penting memastikan Parlimen yang berfungsi sebagai semak dan imbang terhadap kerajaan melalui pemeriksaan perundangan dan pengawasan kerajaan,” katanya.
Guan Eng berkata DAP telah memberi amaran bahawa pembentukan Parlimen hibrid tidak boleh digunakan untuk membentuk satu Parlimen ‘rubber stamp’ dengan mengecualikan penyertaan Ahli Parlimen Pembangkang dari Jawatankuasa Khas Parlimen Hibrid.
Amaran itu katanya, dikeluarkan selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengutarakan idea membenarkan Parlimen bersidang secara separuh fizikal dan separuh maya.
“Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim telah mendedahkan bahawa anggota jawatankuasa tersebut termasuk Yang Dipertua Dewan Negara, Yang Dipertua Dewan Rakyat, seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Timbalan Yang Dipertua Dewan Negara, kedua-dua Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, dan ketua pentadbir Parlimen.
“Ketua Pembangkang atau wakilnya tidak dilibatkan. Tidak ada juga penglibatan Jawatankuasa Peraturan Mesyuarat Parlimen yang ditubuhkan di bawah Peraturan Mesyuarat 78 Dewan Rakyat, bagi menentukan perubahan pada Peraturan Mesyuarat Parlimen.
Bersama Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim, saya telah menghubungi Azhar Azizan untuk menekankan bahawa Ahli Parlimen Pembangkang adalah sebahagian cabang perundangan Perlembagaan Persekutuan, sama seperti Ahli Parlimen Kerajaan,” katanya. – Malaysiapost

