KELAB Belgium KV Kortrijk menyampaikan ucapan Selamat Hari Kemerdekaan buat Malaysia yang dimuat naik menerusi hantaran di media sosialnya sebentar tadi.
Ucapan ditulis bahasa Inggeris iaitu Happy Independence Day to all our Malaysian fans! 🇲🇾
Turut dipaparkan, gambar penyerang muda sensasi negara, Luqman Hakim Shamsudin yang menunjukkan isyarat tangan ‘peace’ dengan tulisan dalam bahasa Melayu – Selamat Hari Merdeka.
Hantaran itu serta-merta dibanjiri komen daripada warganet Malaysia yang mengucapkan terima kasih serta menyampaikan kata-kata selamat maju jaya kepada kelab berkenaan.
Setakat ini, Luqman belum lagi beraksi dalam aksi kompetetif bersama pasukan utama KV Kortrijk sejak tiba di sana beberapa minggu lalu.
Bagaimanapun, ‘ubi’ dari Kelantan itu telah menjaringkan satu gol bersama skuad Bawah 21 tahun KV Kortrijk menentang KRC Gent, minggu lalu. – Malaysiapost

