STADIUM Nasional Bukit Jalil kini bersiap sedia untuk menjadi sebuah lagi Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berskala besar bagi membolehkan lebih ramai rakyat mendapat dos vaksin khususnya di sekitar Lembah Klang.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata seluruh trek balapan stadium telah bertukar wajah menjadi ruang untuk urusan vaksinasi, selaras Pelan Pemulihan Negara diumumkan Perdana Menteri.
Beliau berkata, PPV mega itu dijangka akan dapat mencapai kapasiti 10,000 sehari dan tumpuan akan diberikan kepada rakyat berusia 40 tahun ke bawah.
“Ini merupakan sebahagian usaha KBS menjayakan inisiatif yang diterajui Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin serta kementeriannya dan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan melalui penggunaan fasiliti secara optimum.
“Stadium Tertutup Axiata Arena telah pun digunakan sebagai PPV bermula 7 Jun lalu bagi tujuan yang sama,” katanya menerusi kenyataan di Facebooknya malam tadi.
Reezal turut mengucapkan terima kasih kepada petugas yang bertungkus lumus menyiapkan fasiliti PPV mega itu yang dijangka beroperasi mulai 21 Jun.
“Saya dapat lihat kesungguhan para frontliners perubatan dan bukan perubatan bagi memastikan keselesaan rakyat yang akan berkunjung untuk mendapatkan dos vaksin.
“Pastinya juga, sukarelawan MYVAC di bawah kelolaan KBS akan memberi khidmat di sini. Di peringkat awal, seramai 60 orang akan ditempatkan dan akan ditambah mengikut keperluan.
“Insya Allah, dengan ikhtiar ini kita akan dapat meningkatkan kadar vaksinasi dalam kalangan rakyat dengan lebih cepat lagi,” katanya. – Malaysiapost
Foto Kredit: FB/Reezal Merican

