SEORANG pelayan restoran mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini terhadap dakwaan memiliki 58 pakaian dalam wanita yang juga jirannya.
Tertuduh, Ong Kok Thye, 23, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam bahasa Mandarin di hadapan Majistret Barath Manian.
Berdasarkan kertas pertuduhan, lelaki berasal dari Kuala Sepetang, Selangor itu didapati memiliki 58 helai pakaian wanita iaitu seluar dalam, baju dalam dan seluar pendek yang mana dia tidak dapat memberi keterangan memuaskan bagaimana barang itu diperoleh.
Kok Thye didakwa melakukan kesalahan itu pada 15 Jun lalu kira-kira jam 12.15 tengah hari di Condo Ridzuan, Jalan PJS10/24, Dataran Mentari, Petaling Jaya, lapor Harian Metro.
Dia didakwa mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Zafirah Syed Mustapa manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Majistret membenarkan jaminan RM1,000 kepada tertuduh dan menetapkan 9 September untuk tarikh sebutan semula kes. – Malaysiapost

