ISTANA Negara hari ini memuatnaik satu poster memaparkan petikan kenyataan Yang di-Pertuan Agong dua hari lalu bahawa Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.
Poster memaparkan gambar Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama petikan kenyataan itu dimuatnaik ketika polemik mengenai bila Parlimen perlu diadakan terus diperkatakan pelbagai pihak.
Berikut petikan kenyataan yang tertera pada poster tersebut:
“Setelah memperhalusi semua pandangan para pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat para pakar dan agensi-agensi kerajaan maka Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin.
“Ini untuk membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-Ahli Dewan Rakyat.”
Ayat ‘Parlimen perlu dibuka secepat mungkin’ dalam kenyataan tersebut ditulis dengan tulisan ‘bold’ seakan memberi penekanan terhadap pembukaan Parlimen.
Petikan tersebut adalah sebahagian daripada kenyataan Yang di-Pertuan Agong melalui Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara yang dikeluarkan selepas Perbincangan Khas Raja-Raja Melayu di Istana Negara, kelmarin.
Bagaimanapun semakan Malaysiapost mendapati poster tersebut telah pun dipadamkan kurang sejam selepas ia dimuatnaik di Facebook Istana Negara.
Kelmarin, Yang di-Pertuan Agong mengadakan perbincangan khas dengan Raya-Raja Melayu mengenai situasi semasa negara berhadapan Covid-19.
Selepas pertemuan itu, Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan, persidangan Parlimen perlu diadakan secepat mungkin bagi membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan ahli Dewan Rakyat.
Majlis Raja-raja Melayu juga mengeluarkan kenyataan menyokong pendirian Agong yang menitahkan agar Parlimen segera bersidang.
Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam reaksinya berkata kenyataan Agong itu tidak disertakan tarikh tertentu.
“Agong pun tidak menitahkan bulan berapa, tetapi secepat mungkin. Perdana Menteri kita kata pun bulan 9 atau 10. Sekarang kita dah hampir penghujung bulan 6, bulan 7, 8, 9 pasti akan diadakan,” katanya. – Malaysiapost

