Prasarana tawar aset bantu pacu program vaksinasi nasional

0
2

PRASARANA Malaysia Berhad (Prasarana) menawarkan penggunaan aset miliknya untuk menjadi pemacu kepada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) khususnya di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Pahang.

Pemangku Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datin Norlia Noah berkata, pihaknya berpegang kepada keyakinan bahawa kunci kejayaan untuk Pelan Pemulihan Negara adalah dengan mempercepatkan proses vaksinasi nasional.

“Justeru, Prasarana menyokong penuh pelan tersebut yang diumumkan Perdana Menteri dua hari lalu dan misi kerajaan untuk membawa negara keluar segera dari krisis penularan wabak Covid-19.

“Sebagai tunggak utama pengangkutan awam negara, Prasarana akan bekerjasama dengan pelbagai kementerian, agensi, syarikat swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) untuk menjalankan program khidmat masyarakat bagi memastikan PICK berjalan lancar,” kata dalam satu kenyataan hari ini.

Norlia berkata, Prasarana mula bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Sains, Inovasi dan Teknologi (MOSTI), Kementerian Pengangkutan (MOT), Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri (BHEUU) dan Kementerian Kewangan (MOF) seawal bulan Mac 2020.

Kerjasama itu untuk menghebahkan maklumat mengenai Covid-19, langkah kawalan dan pencegahan jangkitan serta pelan tindakan pemulihan ekonomi seperti PENJANA dengan menggunakan platform pengiklanan kendaliannya termasuk skrin di stesen LRT dan Monorel serta aset digital dalam bas dan tren.

“Semua aset ini akan digunakan secara agresif sebagai sumber publisiti dalam meningkatkan kesedaran di kalangan orang ramai mengenai kepentingan vaksinasi serta mempromosi Pelan Pemulihan Negara.

“Prasarana komited membantu mempercepatkan proses vaksinasi dan terbuka kepada perbincangan untuk menjadikan bas miliknya termasuk di Pulau Pinang dan Pahang sebagai pusat vaksinasi bergerak bagi memudahkan pengambilan vaksinasi di kalangan rakyat.

“Buat masa ini, bas kami turut digunakan oleh kerajaan Pulau Pinang untuk pemindahan mereka yang disahkan positif Covid-19 ke pusat kuarantin. Semua Bas Kapten telah diberikan suntikan vaksin sebelum perkhidmatan dilaksanakan pada 9 Jun lalu,” katanya.

Beliau berkata, keseluruhannya semua staf barisan hadapan Prasarana juga terlatih dalam penjagaan diri dan SOP dalam pencegahan penularan wabak Covid-19.

Kata Norlia, bagi memudahkan orang ramai pergi ke pusat vaksinasi dengan mudah, selesa dan selamat, Prasarana sedia berbincang dengan KKM dan MOSTI untuk membuka pusat vaksinasi sementara di stesen LRT seperti Stesen LRT Putra Heights dan Stesen LRT Awan Besar, yang mempunyai kemudahan serta kawasan parkir yang luas.

Menurut beliau, pihak pengurusan sedang merancang pelan untuk menawarkan staf Prasarana berkhidmat sebagai sukarelawan di pusat vaksinasi bagi membantu meringankan beban ditanggung petugas barisan hadapan KKM ketika ini.

“Prasarana melihat Pelan Pemulihan Negara, yang mengandungi empat fasa pelaksanaan adalah pelan yang realistik dengan mengambil kira realiti dan situasi sebenar risiko yang dibawa wabak ini.

“Ia pasti dapat dilaksanakan dengan jayanya sekiranya seluruh rakyat memberikan kerjasama dengan mematuhi semua SOP yang ditetapkan.
“Sekarang adalah masa untuk seluruh rakyat bersama-sama berganding bahu dalam menjaga kesejahteraan sesama kita,” katanya. Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here