Lelaki curi pakaian dalam wanita ditahan

0
2

POLIS menahan seorang lelaki selepas menerima aduan kecurian pakaian wanita termasuk pakaian dalam wanita di ampaian rumah di sebuah kondominium Bandar Sunway Petaling Jaya, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, lelaki berusia 23 tahun itu ditahan di rumahnya sejurus menerima laporan yang dibuat mangsa.

Katanya, wanita berusia 35 tahun itu menyedari pakaiannya hilang sejak kebelakangan ini dipercayai dicuri.

“Pada hari kejadian jam 10.30 pagi, dia melihat seorang lelaki berlegar-legar di kawasan lif dan mengesyaki lelaki itu terbabit dengan kehilangan pakaian miliknya sebelum ini.

“Dia kemudian memaklumkan kejadian kepada suami sebelum melaporkan kepada pihak pengurusan kondominium.

“Mereka berjumpa suspek dan lelaki itu mengakui mencuri pakaian wanita lalu menunjukkan tempat simpanan pakaian tersebut dalam bilik tidur rumahnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, polis kemudian ke lokasi kejadian pada jam 12.15 tengah hari dan menahan suspek.

Selain itu, katanya, polis turut merampas 58 pakaian wanita dan sebatang kayu yang sudah diubahsuai dipercayai digunakan untuk mencuri pakaian berkenaan.

“Suspek ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan akan didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya esok, mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana gagal memberi keterangan,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here