
Nilam Oshman
PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di sembilan rumah panjang di Matu, Sarawak dan sebuah asrama warga asing termasuk kilang di Johor bermula Sabtu hingga 2 Julai ini.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD dilaksanakan di sembilan rumah Panjang Sungai Rassau, di Batang Igan, Matu, Sarawak kerana mendapati penularan mula berlaku dan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti tersebut.
“Ia melibatkan Rumah Panjang Salim anak Unang; Rumah Panjang Judy anak Kudi; Rumah Panjang Mathew anak Merang; Rumah Panjang Danggang anak Ujang; Rumah Panjang Lait anak Ijang; Rumah Panjang Chandi anak Kilau; Rumah Panjang Putut anak Jugah; Rumah Panjang Sadin anak Jeli dan Rumah Panjang Mador anak Rendah.
“Seramai 84 penghuni telah disaring dan daripada jumlah itu, 48 kes positif direkodkan dengan kadar positiviti 57.14 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, PKPD turut dilaksanakan di Asrama Pekerja Warga Asing dan Kawasan Kilang Wah Cens Plastic Industries and Rainbow Metal Sdn Bhd, Buloh Kasap, Segamat, Johor.
Katanya dalam tempoh seminggu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati berlaku peningkatan apabila sebanyak 52 kes positif telah dikesan setelah 488 individu disaring dengan kadar positiviti 10.7 peratus.
Sementara itu, beliau memaklumkan pelanjutan PKPD di kawasan Semarak, Tawau, Sabah bermula 19 Jun hingga 2 Julai.
Katanya, kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di kawasan itu yang dijadualkan tamat pada 18 Jun 2021.
“Bagaimanapun, dalam tempoh itu, KKM telah melakukan 486 ujian saringan dan 102 daripadanya dilaporkan positif Covid-19.
“KKM juga mengesahkan penularan masih berlaku dalam kalangan penduduk serta terdapat juga kes baharu direkodkan di lokaliti tersebut,” katanya.
Beliau berkata, pelanjutan PKPD turut dilaksanakan di Kampung Pengaraban, Kudat, Sabah bermula 19 Jun hingga 2 Julai.
“Kerajaan sebelum ini telah melaksanakan PKPD di Kampung terbabit yang dijadualkan tamat pada 18 Jun 2021.
“Dalam tempoh itu, KKM telah melakukan 104 ujian saringan dan 32 daripadanya dilaporkan positif Covid-9.
“KKM juga mengesahkan masih berlaku penularan di kalangan komuniti dan kes-kes baharu masih dilaporkan,” katanya. – Malaysiapost
