Tawar pakej vaksin Covid-19 tidak wujud di FB, dua ditahan polis

0
2
Polis Di Raja Malaysia

DUA individu ditahan polis selepas disyaki terbabit kegiatan penipuan penjualan vaksin Covid-19 dengan bayaran RM50 untuk warga Malaysia dan RM800 bagi warga asing.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Datuk Mohd Kamarudin Md Din, berkata pihaknya menerima satu laporan daripada seorang pegawai perubatan pada 14 Jun lalu yang mendakwa menerima makluman rakannya berkenaan kewujudan tawaran pakej-pakej vaksin Covid-19 di Facebook.

Menurutnya, hasil siasatan dan maklumat risikan yang diperoleh, pihaknya berjaya menahan dua suspek yang terbabit dengan penjualan pakej vaksin berkenaan.

“Kedua-dua suspek masing-masing seorang lelaki dan wanita adalah warga tempatan berusia 26 dan 27 tahun.

“Berdasarkan siasatan awal, suspek dipercayai membuat penawaran pakej tersebut melalui laman sosial Facebook dan panggilan telefon pelanggan.

“Pelanggan yang berminat akan didaftarkan ke dalam Program Vaksinasi Covid-19 Selangor (SCVP) melalui aplikasi Selangkah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mana-mana pembeli yang berminat untuk mendaftar akan diletakkan dalam senarai menunggu dan pembayaran hanya perlu dibuat selepas nama mereka tersenarai sebagai salah seorang penerima vaksin melalui Selangkah.

“Suspek mendakwa kira-kira 30 individu telah dihubungi berkenaan pakej vaksinasi tersebut dan 10 peratus sudah menyatakan minat untuk membeli pakej ditawarkan.

“Semakan lanjut mendapati, sehingga kini pendaftaran SCVP hanya dihadkan kepada syarikat sahaja dan masih belum dibuka kepada individu persendirian,” katanya.

Mohd Kamarudin berkata, dalam usaha membendung kegiatan penipuan berkenaan vaksin Covid-19, pihak polis menggesa orang ramai untuk sentiasa peka dan cakna dengan inisiatif vaksinasi yang sedang dilaksanakan kerajaan.

“Kealpaan dalam program dan inisiatif yang sedang dilaksanakan ini boleh dimanipulasi oleh sindiket penipuan yang menangguk di air keruh bagi menjana keuntungan mudah.

“Polis juga menasihati orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berhubung penipuan penjualan vaksin Covid-19 supaya tindakan siasatan dapat dilaksanakan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here