CHINA bersetuju untuk menyumbangkan sebanyak 500,000 dos vaksin SinoVac-CoronaVac kepada Malaysia, maklum Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Hishammuddin berkata, beliau semalam menerima kiriman mesej daripada rakan sejawatnya iaitu Menteri Luar China, Wang Yi yang memaklumkan perkara berkenaan.

Justeru, katanya, Malaysia amat menghargai bantuan dan kerjasama rakan-rakannya terutama di era pandemik ini.
“Bagi pihak kerajaan Malaysia, saya berterima kasih kepada kerajaan Republik Rakyat China,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, sumbangan itu akan membantu usaha Malaysia memerangi Covid-19 terutama menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).
Pengumuman China itu hadir selepas kira-kira dua minggu insiden 16 pesawat tentera negara itu menceroboh ruang udara zon maritim Malaysia, disusuli kapal pengawal pantai China dikesan berada berdekatan Beting Patinggi Ali, Sarawak iaitu kawasan yang terlibat dalam pertikaian tuntutan oleh negara itu dan Malaysia.
Kapal pengawal pantai tersebut memasuki perairan Malaysia pada 4 Jun lalu, kira-kira 84 batu nautika (155km) daripada pantai Miri. – Malaysiapost
.
Artikel berkaitan
https://malaysiapost.com.my/2021/06/08/kapal-pengawal-pantai-china-pula-dikesan-masuk-perairan-malaysia/

