Telefon pintar percuma: ‘Daripada tiada lebih baik ada’ – MB Perak

0
2

MENTERI Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad mempertahankan telefon pintar yang diberi secara percuma oleh Yayasan YTL kepada pelajar adalah bersesuaian untuk Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Malah menurutnya, sumbangan itu telah membantu ribuan pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan B40.

Beliau mengulas isu telefon pintar yang didakwa berkualiti rendah dan tidak memenuhi piawaian PdPR seperti tular di media sosial termasuk dibidas seorang Ahli Parlimen pembangkang baru-baru ini.

“Saya tidak pasti pula apa punca yang menyebabkan ada orang mempertikaikan sumbangan percuma ini. Ini sumbangan percuma oleh Yayasan YTL.

“Bila kita susah, orang sedekah apapun kita terima. Tiadalah nak demand… Masa kita tengah susah ini orang bagi ikan sardin, jadi ikan sardinlah kita makan… Tiadalah demand nak makan ayam pula.

“Jadi kita hendak memberitahu bahawa telefon pintar itu diberikan secara percuma dan kami menerimanya dan telahpun mengedarkan kepada pelajar,” katanya pada sidang media secara maya, hari ini.

Justeru, Saarani menasihati mereka yang membuat dakwaan itu untuk berfikir secara positif khususnya dalam situasi pandemik Covid-19.

“Lebih baik daripada tiada, kalau tidak ada sumbangan Yayasan YTL ini bermakna ribuan anak-anak dari kalangan B40 tidak ada satu peranti pun untuk mereka ikuti PdPR.

“Dengan spesifikasi yang ada itu, mencukupi untuk mengikuti PdPR, jadi saya nasihatkan anak-anak di sana ‘daripada tiada lebih baik ada’… gunakan apa yang ada, kemudian akan datang kemudahan lain insya-Allah.

“Saya sangat berterima kasih kepada YTL dan mengalu-mengalukan syarikat yang mahu berkolaborasi dan memberi sumbangan secara percuma kepada kerajaan negeri khususnya kepada orang miskin dalam apa jua bentuk bantuan,” katanya.

Beliau turut mengulas berkenaan dakwaan telefon pintar sama terbakar sehingga turut dikecam pelbagai pihak di media sosial.

“Daripada 100,000 yang telah diedarkan di seluruh negara hanya satu yang (mungkin) terbakar, takkan itu kita hendak jadikan ia sebagai satu punca untuk kita membuat siasatan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here