Seruan Parlimen bersidang jangan dijadikan alat pemuas nafsu politik

0
3
hishamuddin tun hussein Kredit: hishamuddin.com

DESAKAN politik agar Parlimen dibuka semula tidak boleh mempunyai agenda tersembunyi,” kata Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Beliau berkata seruan agar Parlimen kembali bersidang tidak boleh dijadikan alat pemuas nafsu politik sesetengah individu.

Usaha tersebut, katanya, bukan baru kerana telah dilihat berulang kali selama bertahun-tahun termasuk terbaharu pada September 2020.

“Mereka terlalu taksub pada angka yang ‘kukuh, hebat, meyakinkan’ – sehinggakan, ia meresap ke dalam pelbagai senario serta cuba meyakinkan semua orang bahawa mereka bersatu, dengan harapan dapat meneruskan agenda untuk kembali berkuasa,” katanya menerusi kenyataan.

Hishammuddin berkata Ahli-Ahli Parlimen yang kuat mendesak agar persidangan diadakan, mesti mengambil tanggungjawab bersama bagi memastikan persidangan yang disambung semula nanti dimanfaatkan sepenuhnya demi kepentingan Malaysia dan rakyatnya.

Ini katanya terutama dalam pengurusan Covid-19 kerana agenda negara jauh lebih penting berbanding cita-cita peribadi sesiapa jua.

“Satu-satunya harapan rakyat ketika ini ialah jalan keluar daripada krisis ini dan ia tanggungjawab kita sebagai Ahli-Ahli Parlimen. Rakyat mahu jumlah kes diturunkan, nyawa diselamatkan dan ekonomi dipulihkan,” katanya lagi.

Ahli Parlimen Sembrong itu menambah situasi yang sedang dihadapi sekarang sangat luar biasa apabila negara berdepan gabungan krisis kesihatan, ekonomi dan ketidakstabilan politik secara serentak.

Beliau menegaskan, berpolitik sepanjang masa merupakan sesuatu yang tidak boleh diterima dan di kala Perdana Menteri dan menteri-menterinya mengemukakan Pelan Pemulihan Negara yang bermatlamat membawa negara keluar daripada pandemik, semua perlu menyokong, bukannya skeptikal.

Pelan tersebut katanya, hanya akan berhasil sekiranya semua parti bekerjasama mencari jalan keluar daripada pandemik.

“Jika kita fokus terhadap tanggungjawab dan berkongsi tekad yang sama, maka saya percaya kita boleh memenuhi harapan bersama.

“Secara prinsipnya, saya bersetuju bahawa Parlimen penting sebagai ruang semak dan imbang kepada kerajaan. Prosiding Parlimen juga mustahak untuk kerajaan berkomunikasi dan membahaskan polisi serta mencapai persefahaman bersama anggota Parlimen tentang jalan ke hadapan yang jelas demi kepentingan rakyat.

“Saya percaya, dalam mempertimbangkan ketiga-tiga pandangan ini, wujudnya satu syarat yang mana kita perlukan kestabilan. Kestabilan ini mungkin membolehkan Parlimen dibuka semula.

“Kestabilan ini juga mungkin akan memberikan hak kepada Ahli-Ahli Parlimen untuk bertanya soalan dan Kerajaan untuk menjawab ketika sesi persidangan. Tetapi yang paling mustahak, kestabilan ini mestilah tidak dirampas,” katanya.

Beliau menambah, kestabilan yang diminta itu tidak akan kekal selamanya namun rayuannya ringkas – hanya sehingga krisis Covid-19 berakhir.

Memandang ke hadapan, katanya, ke mana hala tuju negara sekiranya berlaku perubahan dalam landskap politik? Adakah Pelan Pemulihan Negara yang kerajaan sedang usahakan akan diketepikan seterusnya digantikan dengan yang baru?

“Amat jelas, pelan pemulihan Covid-19 yang tidak bersepadu tidak diperlukan. Di saat yang menguji ini, rakyat tidak sepatutnya sekali lagi diheret dalam kancah perebutan kuasa.

“Saya sedar, ada segelintir memilih untuk menyerang saya secara peribadi dengan pelbagai tuduhan dan fitnah. Penyebaran berita palsu telah menjadi amalan politik di negara kita.

“Bagi saya, Baling Batu Sembunyi Tangan semata-mata untuk mewujudkan persepsi yang tidak baik hanyalah langkah murahan demi kepentingan sendiri. Fitnah hanyalah bertujuan mengganggu serta mengalih perhatian dari perbincangan tentang bagaimana untuk memacu negara ini ke arah yang lebih baik.

“Tidak nafikan yang ia mengecewakan saya – negara sedang melalui detik getir, tetapi kenapa kita terus mempolitikkan semua isu? Politik tanpa batas tidak akan membawa kita ke mana-mana,” katanya. – Malaysiapost

Foto Kredit: Hishamuddin

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here