BERBAGAI cara digunakan oleh rakyat pelbagai bangsa dalam usaha mereka menzahirkan rasa kecintaan terhadap negara.
Usaha-usaha kreatif itu boleh dilihat pada musim-musim perayaan terutamanya ketika menyambut ulangtahun kemerdekaan negara.
Selain rakyat biasa, penggiat seni tempatan juga turut sama mampamerkan kreativiti masing-masing di bulan kemerdekaan ini.
Salah seorang pelukis tempatan menjadikan ramuan masakan sebagai ‘resepi’ di dalam menghasilkan karya sempena Hari Kemerdekaan ke-63.
Antara ramuan yang digunakan Mohd Shah Tumin, 36, untuk menghasilkan karya itu adalah sos cili, serbuk kari, kicap dan mayonis.
Mohd Shah atau lebih dikenali sebagai Shahtumin berkata, keunikan itu ditampilkan dalam karyanya bagi meneroka seni ‘di luar kotak’.
“Lukisan boleh dihasilkan secara kreatif, bukan sekadar menggunakan pensel dan kertas,” katanya yang dipetik daripada laporan FMT.
Bukan sahaja menghasilkan karya merdeka malah, Mohd Shah memberitahu ramuan masakan itu digunakannya untuk menghasilkan potret pemimpin dan selebriti.
Antara tokoh yang pernah dihasilkannya adalah potret Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Sugu Pavithra, dan pemain bola sepak Liverpool, Mohamed Salah.
Karya-karya yang dihasilkannya dimemuat naik ke laman sosial YouTube untuk dikongsikan dengan orang ramai dan ia mendapat sambutan yang baik.
Bersempena Hari Kebangsaan, Shah melukis bendera Malaysia, Tugu Negara, bunga raya dan KLCC dalam satu lukisan, yang mengambil masa 60 hingga 90 minit untuk dihasilkan.
“Lukisan ini juga antara kandungan terbaru saluran YouTube sendiri kerana mahu mencari kelainan, selain berasa masih belum ada lakaran sedemikian dibuat di Malaysia,” katanya.
Walaupun tampak mudah namun Shah memberitahu bahawa antara bahan paling sukar dikendalikannya adalah serbuk kari.

