LIMA lelaki termasuk pemilik gimnasium dikompaun kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dengan melakukan aktiviti fizikal di dalam premis berkenaan.
Pemilik gimnasium berusia 58 tahun itu dikompaun RM10,000 manakala empat individu lain iaitu pelanggan dikenakan kompaun RM2,000 setiap seorang.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata pusat gimnasium terletak di Jalan Bagan Luar, Butterworth itu dikesan beroperasi ketika anggota Task Force menjalankan penugasan Ops Pematuhan SOP PKP 3.0 jam 5.40 petang semalam.
“Ketika pemeriksaan, kita mendapati ia beroperasi dan terdapat lima lelaki berada di dalam premis termasuk pemiliknya, manakala empat lagi adalah pelanggan.
“Kesemua mereka yang berusia 36 hingga 52 tahun didapati melanggar SOP dengan melakukan aktiviti yang dilarang ketika PKP 3.0. Oleh itu, kesemua mereka dikenakan kompaun,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Beliau berkata, pemilik gimnasium memberi alasan membuka premis kerana permintaan pelanggannya itu.
“Dia mengaku membuka perniagaan itu susulan permintaan pelanggannya sepanjang PKP 3.0 ini. Pemeriksaan juga mendapati pelajar sekolah turut berada di premis tersebut, namun tiada kompaun dikeluarkan ke atasnya.
“Disebabkan dia pelajar sekolah, kita hanya memberi amaran. Tindakan kompaun diambil mengikut Peraturan PU(A) 265, Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (NO.3) 2021,” katanya. – Malaysiapost
Foto Kredit: FB/Penang Kini

