PARLIMEN dijangka akan kembali bersidang pada September atau Oktober tahun ini, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Saya ingin memberikan komitmen bahawa Sidang Parlimen boleh diadakan dalam Fasa ini iaitu sekitar bulan September atau Oktober dengan mengikut SOP yang ketat.
“Ini adalah pendirian saya dari awal bahawa sistem Demokrasi Berparlimen boleh berfungsi semula pada masa yang sesuai, iaitu setelah kes-kes Covid-19 terkawal dan kita hampir mencapai imuniti berkelompok.
“Saya akan terus mendokong prinsip Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan,” katanya dalam perutusan khas Pelan Pemulihan Negara, hari ini.
Sehubungan itu Perdana Menteri mengingatkan jangan ada pihak sengaja menimbulkan keresahan dan kecelaruan dalam kalangan rakyat sehingga mengganggu tugas utama kerajaan untuk menangani pandemik Covid-19.
Perdana Menteri hari ini mengumumkan Strategi Pelan Pemulihan Negara, merangkumi empat fasa dan akan melibatkan pelan peralihan fasa PKP secara berperingkat.
“Setiap fasa pelan pemulihan ini berpaksikan kepada data yang bersandarkan tiga indikator ambang utama ataupun threshold untuk beralih dari satu fasa ke fasa seterusnya,” katanya. – Malaysiapost

